Lee Yoon Yeau FLAM
Lee Yoon Yeau

MELAKA – Rakyat tidak perlu bimbang kerana kenaikan harga telur ayam ketika ini dijangka sudah mencapai paras maksimum dan tidak semestinya berterusan, bergantung kepada keadaan bekalan serta permintaan pasaran.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau berkata, kenaikan juga perlu dilihat dalam konteks keadaan pasaran sebelum ini apabila harga telur berada pada paras terlalu rendah selama kira-kira enam bulan.

Menurutnya, harga telur yang rendah dari Februari hingga Julai lalu menyebabkan penternak menanggung kerugian besar, sebelum keadaan bekalan berubah dan harga kembali meningkat.

“Telur ialah pasaran berdasarkan permintaan dan bekalan yang mana kalau harga tinggi tetapi permintaan kurang, harga akan jatuh juga.

“Pengguna sudah menikmati enam bulan harga rendah. Sekarang harga naik, tetapi ia akan turun juga jika bekalan kembali banyak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Nasarudin mendakwa kenaikan berlaku sekitar tiga sen sebiji setiap minggu sejak sebulan lalu menyebabkan harga telur Gred A kini mencecah RM15 sepapan 30 biji manakala RM14.70 Gred B setakat 25 Ogos lalu.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan dakwaan beberapa peniaga di Melaka bahawa harga telur daripada pembekal meningkat secara berperingkat sejak sebulan lalu, dengan kenaikan sekitar tiga hingga empat sen sebiji pada setiap pelarasan.

Seorang peniaga, Nasarudin Md Delan, 58, mendakwa, harga telur Gred A meningkat secara berperingkat sehingga mencecah RM15 sepapan 30 biji, manakala Gred B RM14.70, berdasarkan bekalan diterima pada 25 Ogos lalu.

Seorang lagi peniaga, Mohd Nazri Mohd Nor, 48, pula mendakwa pembekal memaklumkan kenaikan itu berkaitan masalah penyakit di ladang ayam yang menyebabkan pengeluaran telur berkurangan.

Mengulas dakwaan itu, Yoon Yeau berkata, beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan mengenai virus atau penyakit di ladang tertentu sebagai punca kenaikan harga ketika ini.

“Setiap ladang mempunyai pengurusan sendiri dan sebarang masalah operasi tidak semestinya dimaklumkan kepada persatuan atau pemain industri lain.

“Namun dalam industri ini, cuaca panas serta kualiti bahan mentah seperti jagung dan kacang soya yang kurang baik turut boleh memberi kesan kepada pengeluaran telur,” katanya.

Gambar hiasan

Antara faktor lain juga tambahnya, terdapat kemungkinan sesetengah penternak yang berdepan masalah aliran tunai mempercepatkan penjualan ayam penelur yang sudah tua, sekali gus mengurangkan kapasiti pengeluaran bagi mengehadkan kerugian.

“Keadaan lebihan bekalan sebelum ini menyebabkan harga telur jatuh terlalu rendah, malah pada Mei lalu terdapat telur yang dijual sekitar RM5 (sepapan).

“Kita rugi besar enam bulan kerana permintaan dan bekalan yang mana telur tidak boleh disimpan lama, jadi walaupun rugi kita tetap perlu menjualnya,” katanya.

Menurut Yoon Yeau, Melaka ketika ini masih kekal sebagai negeri pengeluar telur terbesar negara dengan anggaran sekitar 12 juta biji sehari daripada enam ladang berbanding pengeluaran negara kira-kira 35 juta biji sehari.

“Industri berharap kerajaan membantu penternak meningkatkan kapasiti pengeluaran, termasuk mempermudah proses mendapatkan lesen pembukaan ladang baharu serta menetapkan jarak bersesuaian antara ladang dengan kawasan perumahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here