Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar menunjukkan rampasan penyeludupan rokok yang tidak bercukai serta arak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 SEPTEMBER 2025

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menumpaskan dua sindiket seludup rokok dan arak melibatkan nilai rampasan lebih RM2.4 juta menerusi Op Kontraban yang diadakan 18 hingga 22 September lalu.

Pengarahnya, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, sindiket berkenaan dipatahkan menerusi serbuan di lima premis gudang di Selangor manakala sebuah lagi di Negeri Sembilan.

Tambahnya, lapan lelaki dan seorang wanita berperanan sebagai sebagai penjaga premis, pekerja am dan pemandu lori ditahan dalam operasi berasingan tersebut.

“Daripada sembilan yang ditahan dalam lingkungan 19 hingga 58 tahun, enam merupakan warga tempatan manakala tiga orang warga asing (Myanmar).

“Hasil semakan dua lelaki yang ditangkap memiliki ekod jenayah lampau iaitu memiliki senjata berbahaya, samun dan pernah di ambil Tindakan di Bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya ketika sidang media di Dewan C’erana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar bercakap pada sidang media berhubung penyeludupan rokok yang tidak bercukai serta arak pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 SEPTEMBER 2025

Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, antara barangan yang dirampas dipercayai diseludup masuk dari negara jiran menggunakan jalan tikus untuk dijual di kawasan Lembah Klang adalah 4,720 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1.014 juta dan 412 minuman keras bernilai lebih RM1 juta.

“Juga dirampas empat kereta dan sebuah lori,” katanya lagi.

Semua suspek yang ditangkap direman dalam tempoh yang berbeza iaitu empat hingga 14 hari dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat dalang sindiket berkenaan.

Dalam masa yang sama, Kumar menegaskan, operasi seumpama itu akan diteruskan bagi membanteras penyeludupan di seluruh negara.

“Orang ramai diseru agar konsisten menyalurkan maklumat berhubung kejadian jenayah di lokaliti masing-masing dalam membantu usaha PDRM dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di tahap optimum,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast