KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang menyifatkan perobohan pangkalan haram di Sungai Golok boleh menjejaskan pendapatan harian penduduk setempat.
Sedangkan menurut Ahli Parlimen Setiawangsa berkenaan, pangkalan haram yang dirobohkan itu merupakan laluan utama penyeludupan dadah, rokok, senjata dan aktiviti lain yang merosakkan anak-anak muda Kelantan.
Malah beliau turut menegaskan, sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan bijak dalam menguruskan ekonomi, penduduk negeri itu tidak perlu bergantung kepada aktiviti sempadan yang berisiko dan menjurus kepada jenayah sekali gus tidak wajar menyalahkan tindakan perobohan oleh pihak berkuasa.
“Apabila Timbalan MB Kelantan boleh kata “ini pekerjaan sumber rezeki”, memang kita tepuk dahi.
“Ini pengkalan haram. Laluan utama penyeludupan dadah, rokok, senjata, benda yang merosakkan anak muda Kelantan. Lepas tu nak dijadikan alasan rezeki halal? Apa logik macam ini?” soalnya menerusi hantaran Facebook beliau semalam.
Sementara itu, Nik Nazmi yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Kerajaan Negeri Kelantan sepatutnya lebih rasional dalam melahirkan rasa simpati supaya tidak dilihat seolah-olah mempertahankan pangkalan haram yang menjadi pintu masuk pil kuda.
“Itu bukan cari makan, itu menggadai keselamatan negara dan maruah bangsa,” katanya.
Semalam media melaporkan kebimbangan Mohamed Fadzli berhubung nasib penduduk negeri itu yang mungkin kehilangan sumber pendapatan susulan operasi merobohkan lebih 200 pengkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.
Menurut beliau, tidak semua pangkalan itu digunakan untuk kegiatan jenayah sebaliknya terdapat penduduk setempat menjadikannya lokasi menjala ikan, menjalankan perniagaan kecil atau menghubungkan kekeluargaan antara penduduk di Kelantan dan Pekan Golok, Thailand.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, sebanyak 153 daripada 212 jeti pangkalan haram yang dibina di atas tanah kerajaan akan dirobohkan bermula bulan depan. – MalaysiaGazette
















