SELAYANG – Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim berdepan risiko diisytihar muflis serta kemungkinan aset disita andai gagal melunaskan saman fitnah berjumlah RM281,200 kepada usahawan, Datuk Haris Embong dan syarikatnya, Arisprop Holdings Sdn. Bhd.
Haris berkata, lebih 422 hari telah berlalu sejak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Julai tahun lalu memerintahkan Rafidah membayar ganti rugi itu.
Namun sehingga kini tiada sebarang bayaran dibuat.
“Keputusan mahkamah jelas memihak kepada saya dan syarikat, tetapi hingga hari ini tidak satu sen pun dibayar.
“Ini bukan soal jumlah besar atau kecil, tetapi soal menghormati keputusan mahkamah,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Kes saman fitnah itu berpunca daripada dua hantaran media sosial Rafidah pada September dan Oktober 2021 yang didakwa menggambarkan Haris terbabit dalam salah laku seksual, selain menuduh syarikatnya menjalankan perniagaan tidak beretika.
Ia berlaku selepas kontrak Rafidah sebagai Ketua Pemasaran Arisprop Holdings Sdn.Bhd. ditamatkan pada Ogos tahun sama.
Mahkamah kemudian memerintahkan Rafidah membayar RM100,000 kepada Haris secara peribadi, RM150,000 kepada syarikat, selain faedah lima peratus setahun, kos guaman RM30,000 serta fi alokator RM1,200.
Firma guaman Tetuan Izral Partnership yang mewakili plaintif telah mengeluarkan dua notis tuntutan, masing-masing pada 20 Ogos 2024 dan 19 September 2025.
Notis terakhir yang disahkan diterima pada 22 September lalu turut tidak mendapat sebarang maklum balas.
Menurut Haris, beliau sebelum ini pernah cuba menyelesaikan perkara itu secara baik termasuk menghubungi Rafidah melalui telefon dan WhatsApp bagi meminta kenyataan fitnah tersebut dipadam, namun hanya diminta berurusan dengan peguamnya.
“Saya masih terbuka untuk berbincang, malah bayaran secara ansuran juga boleh dipertimbangkan.
“Tetapi asasnya jumlah itu tetap perlu dilunaskan kerana ia adalah keputusan mahkamah,” tegasnya,
Peguam yang mewakili Haris, Alvin Dev Singh berkata, undang-undang sivil membolehkan langkah tegas diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi keputusan mahkamah.
“Dalam kes sivil, objektifnya bukan untuk memenjarakan pihak terbabit, sebaliknya memastikan ganti rugi dibayar kepada pihak yang teraniaya.
“Sekiranya masih ingkar, syarikat berhak memohon pelaksanaan keputusan termasuk penyitaan aset defendan. Dia tidak boleh lari kerana undang-undang memberi kuasa untuk tindakan itu,” jelas beliau.
Haris dalam masa yang sama menegaskan tindakan saman itu tiada sebarang kaitan dengan kontroversi lain, yang dikaikan dengan Rafidah ketika ini.
“Tindakan undang-undang ini bukanlah soal dendam peribadi, sebaliknya untuk membersihkan imej saya sebagai seorang usahawan dan menjaga nama baik syarikat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















