KUALA LUMPUR – Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menawarkan perkhidamatan tidak bermoral berselindung disebalik pusat urutan dan refleksologi ditahan dalam satu operasi yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tujuh lokasi di sekitar Lembah Klang, hari ini.
Antara kawasan tumpuan dalam operasi yang dijalankan secara serentak bermula pukuk 5 petang itu iaitu Kuala Lumpur, Seri Kembangan dan Kajang.
Selain urutan badan mereka turut menawarkan khidmat sampingan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM200 hingga RM250.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen Malaysia, Basri Othman berkata, seramai 146 individu telah diperiksa dengan 86 daripadanya adalah warga asing manakala 60 orang lagi adalah rakyat tempatan.
Katanya, berdasarkan siasatan mereka yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan dengan ada antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan ketika pemeriksaan dijalankan, tinggal lebih masa di negara ini dan sebahagiannya menyalahi Peraturan 39 (B) Imigresen iaitu menyalahgunakan pas perjalanan.
“Kebanyakan mereka yang menyalahgunakan pas ini masuk secara sosial tetapi bekerja di premis-premis berkenaan (pusat urutan).
“Semua yang ditahan akan dibawa ke pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya kepada media selepas tamat operasi berkenaan di sini, hari ini.

Basri berkata, ketika operasi dijalankan ada diantara mereka cuba melarikan diri dan ada yang bertindak menyorok di bawah katil di dalam bilik tempat mereka menawarkan perkhidmatan.
Bagaimanapun katanya, kelincahan mereka itu berjaya dipatahkan oleh pasukan operasi yang terdiri daripada 72 orang pegawai JIM dari Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Sebagaimana biasa dalam operasi kita akan menggeledah tempat serbuan dan akhirnya kita temui tempat persembunyian mereka.
”Kesemua yang ditahan berusia diantara 21 hingga 32 tahun dan risikan telahpun dibuat selama dua minggu,” ujarnya.
Dalam pada itu Basri menasihatkan para majikan supaya sentiasa menyediakan dokumen kepada warga asing yang diambil bekerja pada setiap masa.

Katanya, langkah itu perlu kerana sekiranya pemeriksaan dibuat dan didapati pekerja warga asing tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan mereka akan ditahan dan dibawa ke pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
“Kalau Imigresen buat pemerikaan dan mereka (warga asing) tidak mempunyai dokumen, kita terpaksa bawa mereka balik (ke depot tahanan imigresen) dan itu akan mengganggu mereka.
“Biasanya kita akan beri tempoh 24 jam untuk mereka (majikan) bertindak mengemukakan dokumen pekerja warga asing mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















