SHAH ALAM – Rakyat disarankan lebih peka terhadap kepentingan menjalani saringan kesihatan secara berkala sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kelewatan dalam pengesanan penyakit kanser.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan rekod, lebih 50,000 kes baharu kanser dilaporkan setiap tahun di negara ini, dan kebanyakannya dikesan pada Tahap 3 dan 4.
Ini bermaksud pesakit sudah berada di peringkat lewat ketika diagnosis dibuat.
Sedangkan, pelbagai program saringan telah dijalankan secara bersama oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan saringan melalui Program Peka B40 dan Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI).
“Matlamat kami adalah untuk mencapai lebih sejuta saringan, bagi mengesan penyakit kronik lebih awal,” katanya ketika ditemui pada Program Bald & Beautiful Day 2025 yang berlangsung di Lakeside Mall, Elmina, hari ini.
Tambah beliau, usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan saringan kesihatan menerusi program di peringkat komuniti perlu diperluaskan.
Sebelum ini, KKM melaporkan lebih 60 peratus pesakit kanser di Malaysia dikesan pada peringkat lewat (Tahap 3 dan 4), yang menyebabkan pilihan rawatan menjadi terhad, tekanan emosi dan beban kewangan yang tinggi kepada keluarga, selain memberi kesan kepada sistem kesihatan negara.
Bald & Beautiful Day 2025 merupakan program kebajikan anjuran Yayasan Khind Starfish bagi memberi sokongan moral dan kewangan kepada pesakit kanser.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly memaklumkan program hari ini berjaya mengumpul dana melebihi sasaran, iaitu kira-kira RM320,000 untuk membantu pesakit kanser.
“Program ini bukan sahaja berjaya mengutip dana lebih RM20,000, malah menyaksikan kehadiran 267 peserta. Lebih penting lagi, program ini menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran dan literasi kesihatan berkaitan penyakit kanser,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















