Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru seluruh pemimpin dunia bangkit menghentikan genosid dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Menurutnya, sudah tiba masanya semua pemimpin dunia bersatu menentang perbuatan Israel yang disifatkan paling tidak berperikemanusiaan yang pernah disaksikan dalam sejarah peradaban manusia.

Malah, beliau percaya sudah tiba masanya juga untuk semua negara menuntut supaya satu pasukan pengaman pelbagai negara di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera dikerahkan untuk melindungi penduduk Palestin.

“Saya merayu, menuntut dan mendesak anda semua (seluruh pemimpin dunia) menghentikan cubaan keji Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk merampas Gaza,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, perbuatan genosid Israel terhadap Palestin sesungguhnya tidak mempunyai sebarang alasan atau justifikasi dan beliau yakin lebih ramai pemimpin dunia bersedia mengakui hakikat itu hari ini.

“Kita sering berbicara tentang kemanusiaan, tentang hak asasi manusia dan kebebasan iaitu semua nilai yang menjadi asas dunia bertamadun.

“Namun, kita masih membiarkan Israel memijak semua prinsip itu dengan bebas, angkuh dan penuh penghinaan terhadap moral serta tamadun manusia,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, penindasan terhadap rakyat Palestin telah berlanjutan lebih 70 tahun, sejak penubuhan Israel yang mana kewujudannya itu menjadi punca ketidakstabilan dan keganasan di Asia Barat.

Jelasnya, suatu masa dahulu, Nazi menindas orang Yahudi dan masyarakat dunia bersimpati terhadap penderitaan mereka.

Namun, hari ini, ujarnya, bangsa yang dahulunya ditindas itu pula menindas bangsa lain, yang mana mereka langsung tidak mengambil pengajaran daripada sejarah mereka sendiri.

Dalam pada itu, tambah beliau, timbul harapan walau masih ada sedikit keraguan melihat peningkatan sokongan dalam kalangan negara-negara Eropah untuk mengiktiraf negara Palestin.

Langkah itu, ujarnya, membawa maksud bahawa negara-negara tersebut akhirnya mengakui berlakunya genosid terhadap rakyat Palestin yang dilakukan oleh Israel dan ia mesti dihentikan.

“Namun, sokongan AS terhadap Israel amat jelas, mereka bahkan menghalang pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas daripada menghadiri Perhimpunan Agung PBB dengan menolak visanya.

“Tindakan itu jelas mengkhianati janji AS bahawa semua pemimpin dunia akan dibenarkan menghadiri sidang PBB yang berpusat di New York,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, semua pihak mengakui niat sebenar Israel adalah untuk menghalau seluruh rakyat Palestin dari bumi mereka dan jika itu tidak berjaya dilakukan, rejim Zionis itu berniat untuk menghapuskan rakyat Palestin sama sekali. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast