Ahmad Yahaya.

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa seluruh rakyat Malaysia turun bersolidariti pada 4 Oktober ini bagi menyatakan bantahan terhadap Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang disifatkan sebagai tempang.

Ketua DUPP, Ahmad Yahaya berkata,RUU tersebut menimbulkan keresahan khususnya dalam konteks isu pembangunan semula di Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru yang turut melibatkan isu gentrifikasi serta pengekalan identiti Melayu di kawasan bandar.

“RUU URA pada asasnya dikemukakan untuk menangani isu perumahan yang uzur, terbengkalai atau terbiar namun terdapat beberapa peruntukan yang menimbulkan pertikaian dan kebimbangan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah penurunan nilai ambang persetujuan kepada 80 peratus bagi bangunan di bawah usia 30 tahun dan 75 peratus bagi bangunan melebihi 30 tahun untuk pengambilalihan bangunan berbanding keperluan persetujuan 100 peratus seperti yang termaktub dalam Akta Hak Milik Strata 1985.

“Ini bermakna kerajaan dan pemaju boleh mengemukakan alasan pembangunan semula ke atas mana-mana bangunan meskipun bangunan tersebut tidak tergolong dalam kategori bermasalah. Persoalannya, apa asas kepada nilai ambang yang lebih rendah ini?” soal beliau.

Tambah Ahmad, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilihat gagal menjelaskan asas yang munasabah terhadap perubahan dasar berkenaan malah menteri sendiri lebih gemar ‘berdrama’ dan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.

Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya RUU URA menjadi ‘jalan terakhir’ untuk mengambil alih tanah-tanah di kawasan strategik seperti Kampung Baru sekali gus memberi keuntungan kepada pemaju dan menjejaskan kedudukan orang Melayu di tengah-tengah ibu kota.

“DUPP membantah RUU URA bukan bermakna menolak pembangunan, namun sebarang pembangunan mestilah berasaskan prinsip keadilan dan mempertahankan identiti warisan bangsa,” katanya lagi.

Menurut beliau, semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN), dasar pembaharuan semula bandar juga pernah diketengahkan, namun nilai ambang persetujuan masih dikekalkan pada kadar 100 peratus, tidak seperti cadangan terkini oleh Kerajaan Madani.

“Kegagalan kerajaan menangani krisis pembangunan semula di Kampung Sungai Baru juga membuktikan bahawa RUU URA belum bersedia untuk dilaksanakan. Rakyat kini berdepan dengan defisit keyakinan terhadap kerajaan,” ujarnya.

DUPP turut merujuk kepada kajian perbandingan yang pernah dibuat terhadap kawasan penempatan Melayu Geylang Serai, Singapura dan menegaskan bahawa konteks Malaysia tidak wajar disamakan dengan negara jiran itu kerana perbezaan dasar dan keperluan identiti nasional.

“Identiti warisan Melayu di tengah bandar perlu dipertahankan dan bukannya dihakis atas nama pembangunan semula. Jika tidak, Melayu bakal melukut di tepi gantang di bawah pentadbiran Kerajaan Madani,” tegasnya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan isu ini agar bersama-sama bersolidariti pada 4 Oktober sebagai tanda sokongan terhadap usaha mempertahankan hak dan identiti bangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast