Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

PERMATANG PAUH – Pas Pulau Pinang menyokong keputusan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, keputusan tersebut adalah hak parti berasaskan strategi politik masing-masing.

Jelas beliau, pihaknya menghormati pendirian serta keyakinan Gerakan dalam menampilkan identiti sendiri di mata rakyat Pulau Pinang khususnya, dan Malaysia amnya.

“Kita melihat langkah ini sebagai manifestasi kematangan politik dalam blok pembangkang yang meraikan kepelbagaian serta memperkukuhkan lagi semangat kerjasama strategik demi kepentingan rakyat.

“Pas Pulau Pinang meraikan sebarang tindakan yang mungkin meningkatkan kepercayaan rakyat selagi mana komponen dalam Perikatan Nasional tetap menjaga persefahaman, kesatuan hati dan hala tuju perjuangan.

“Bahkan tindakan menggunakan logo parti ini telah terbukti menjadi senjata ampuh di beberapa buah negeri pada PRU15,” katanya hari ini.

Tambah beliau, pihaknya percaya walaupun dengan penggunaan logo berbeza, matlamat utama untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat akan menjadi titik temu utama antara rakan-rakan gabungan.

“Kita percaya parti gabungan akan menawarkan pilihan terbaik kepada rakyat iaitu berasaskan keadilan, kesejahteraan, dan tadbir urus yang bersih serta menolak politik sempit yang memecahbelahkan masyarakat.

“Oleh itu, Pas akan terus bekerjasama erat dengan Gerakan dan semua parti terutama dalam Perikatan Nasional dalam menggembleng tenaga dan idea bagi memastikan aspirasi rakyat Pulau Pinang dan Malaysia dapat direalisasikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast