Misi disertai seramai 40 orang mahasiswa daripada UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi membuktikan keupayaan dalam memimpin kesukarelawanan apabila mengetuai Misi Sukarelawan Kemanusiaan peringkat global di Pattani, Thailand, baru-baru ini.

Misi disertai seramai 40 orang mahasiswa yang terdiri daripada pelbagai universiti seperti UTeM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Pengarah Program Haziq Zainudin, 23, inisiatif tersebut bermatlamat untuk membantu komuniti luar bandar di wilayah tersebut yang masih bergelut dengan kekangan infrastruktur asas.

Pelajar Tahun Empat, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) itu menambah, antara pengisian utama misi tersebut adalah pemasangan lampu solar di Sekolah Banbangplamoe.

Ia merupakan sebuah sekolah pedalaman yang sebahagian kawasannya masih belum menikmati kemudahan elektrik.

“Selain itu, kami turut menyerahkan sumbangan mainan kepada anak-anak kurang berkemampuan, mengadakan kelas bahasa Inggeris untuk pelajar di sekolah tersebut serta menyalurkan bantuan Food Bank kepada keluarga miskin.

“Sumbangan itu diserahkan melalui pihak sekolah yang mana semua aktiviti ini dirangka bagi menyentuh pelbagai aspek kebajikan masyarakat dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Haziq, misi tersebut turut diperkukuhkan dengan kerjasama erat bersama perwakilan pelajar Prince of Songkla University yang menjadi rakan strategik.

Ia sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan aktiviti sampingan seperti forum kepimpinan mahasiswa dan majlis malam kebudayaan yang mengeratkan hubungan dua hala Malaysia–Thailand.

Turut bersama dalam misi ini, Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UTeM, Prof. Madya Dr. Hazli Rafis Rahim.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penglibatan mahasiswa dalam misi luar negara ini selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing global. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast