Bekas ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong tiba bersama ahli keluarga bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2025

PUTRAJAYA – Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong diperintah menjalani hukuman penjara lapan tahun serta merta dan dikenakan dua sebatan kerana merogol pembantu rumah warganegara Indonesia, enam tahun lalu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian dan mengeluarkan waran komital terhadap Paul agar dia dihantar ke penjara serta merta.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah berpuas hati, sabitan dan hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan, tahun lalu adalah munasabah dan selamat untuk dikekalkan.

Reaksi ahli keluarga bekas ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selepas Mahkamah Rayuan menetapkan hukuman penjara atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2025

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak mendapati Paul, 55, bersalah merogol pembantu rumah ketika itu berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh antara pukul 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Paul diwakili barisan peguam terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Kee Wei Lon manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari dan Mohd. Fuad Abd. Aziz mewakili pihak pendakwaan.

Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Wan Ahmad Farid berkata, panel tersebut telah mempertimbang keterangan secara keseluruhan dan berpuas hati perbuatan rogol berjaya dibuktikan melampaui tahap keraguan munasabah.

Ujar beliau, peguam membangkitkan isu bahawa Paul tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana mangsa (saksi pendakwaan ke-15) dan seorang individu lain (SP16) memberi keterangan secara tertutup tanpa mereka diberi peluang melihat tindak tanduk mereka.

Mangsa yang merupakan saksi utama memberi keterangan berdasarkan Seksyen 20 Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Prosedur Jenayah (KTJ).

Paul Yong Choo Kiong tiba bersama ahli keluarga bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2025

Bagaimanapun, panel itu berpendirian, tidak berlaku salah laksana keadilan terhadap Paul mahupun memudaratkan kes pendakwaan jika wanita itu memberi keterangan secara tertutup kerana mangsa merupakan saksi yang dilindungi.

Panel itu turut berpuas hati, keterangannya kredibel dan diterima oleh mahkamah.

Ujar Hakim Wan Ahmad Farid, hakim bicara telah menilai keterangan mangsa yang menyatakan dia diberi amaran oleh perayu (Paul) supaya tidak mendedahkan kejadian tersebut kepada isterinya.

Selain itu, panel tersebut berpendapat, mangsa menangis ketika menceritakan kejadian rogol tersebut kepada SP16 ketika dalam kereta sebelum dibawa membuat laporan polis.

Ujar hakim, mangsa menulis dalam diarinya `Aku benci diriku’ dan ketika ditanya hakim bicara, dia menyatakan berasa kotor, jijik dan hina. Mangsa dalam keterangannya turut menyatakan, Paul mengganggunya secara seksual berkali-kali sebelum kejadian rogol itu.

Menurut Ketua Hakim Negara, hakim bicara merupakan pihak yang paling tepat untuk menilai tingkah laku saksi-saksi ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi.

Beliau selanjutnya menyatakan, bukti forensik yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan wujud koyakan baharu pada selaput dara mangsa.

Ujar beliau, keterangan di mahkamah juga menyatakan, mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada ibunya kerana merasa bersalah selain takut ibunya akan merasa khuatir terhadap peristiwa yang menimpanya.

Paul Yong Choo Kiong tiba bersama ahli keluarga bagi pendengaran rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2025

Sehari selepas kejadian katanya, mangsa menghubungi kakitangan kedutaan Indonesia di sini sebanyak tiga kali dan meminta supaya diselamatkan kerana telah dirogol oleh Paul.

Dalam penghakimannya, Ketua Hakim Negara berkata, pembelaan Paul yang menafikan merogol mangsa, adalah tidak bermerit.

Paul merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya terhadap sabitan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast