JOHOR BAHRU – Johor Talent Development Council (JTDC) memohon kelonggaran kepada mahasiswa untuk menjalani latihan industri di semester akhir di syarikat-syarikat di Johor kini sedang dibincangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, perbincangan itu juga bagi membolehkan mereka diserap terus ke dalam pasaran kerja sebaik sahaja tamat pengajian.
“Hari ini saya mengadakan perbincangan strategik bersama-sama Board of Engineers Malaysia (BEM), Institution of Engineers Malaysia (IEM Cawangan Selatan) dan Technological Association Malaysia (TAM) Johor.
“Pertemuan ini menekankan peranan badan profesional dalam memastikan standard kejuruteraan dipelihara, sambil membuka laluan baharu untuk mahasiswa Johor mendapat peluang latihan industri yang lebih praktikal dan berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Aznan berkata, melalui inisiatif itu mahasiswa kejuruteraan bukan sekadar diberi pendedahan teknikal, tetapi juga dibentuk dengan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan penyelesaian masalah.
Jelasnya, ini menjadikan mereka bakat holistik yang bersedia untuk cabaran industri berteknologi tinggi.
“Johor yakin bahawa kolaborasi strategik ini akan melahirkan generasi jurutera Johor yang berdaya saing sekaligus menjadi pemacu utama kemampanan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Inilah langkah nyata dalam memastikan Johor bukan sekadar hab industri, tetapi juga pusat kecemerlangan bakat kejuruteraan yang mengukuhkan kedudukan negeri di pentas serantau dan antarabangsa,” katanya.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mempercepatkan kebolehpasaran graduan, malah menyokong usaha negeri dalam memastikan keperluan tenaga kerja mahir di bawah JS-SEZ dapat dipenuhi.
Beliau bersyukur perkara itu menjadi perhatian serius pihak BEM yang dalam rangka untuk kelulusan tersebut.
“Seiring dengan aspirasi JS-SEZ memerlukan barisan jurutera baharu yang bukan sahaja menguasai kemahiran teknika tetapi juga berdaya cipta, inovatif, dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya
Justeru, kata Aznan, penyediaan latihan industri yang berkesan menjadi agenda kritikal dalam membentuk mahasiswa kejuruteraan agar terus relevan dengan keperluan pasaran kerja.
Johor pula katanya, menampilkan landskap kejuruteraan yang dinamik dengan kepesatan sektor pembuatan, tenaga, automasi, maritim serta hab elektrik serta elektronik menjadikannya nadi penting pembangunan ekonomi negara.- MalaysiaGazette
















