KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera laut Israel akan dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, jaminan itu diberikan kepada beliau selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS, petang tadi.
“Pihak Kedutaan AS telah beri jaminan bahawa seluruh warganegara Malaysia yang kini sedang ditahan akan dibawa pulang ke negara kita dalam kadar yang segera dan jaminan keselamatan akan diberikan kepada mereka.
“Alhamdulillah mereka telah menerima memorandum kita seperti yang kita janjikan semalam.
“Hari ini pihak kedutaan hubungi saya dan minta hadir serah memorandum,” katanya berucap pada Himpunan Bantahan Anti Israel di luar pekarangan Kedutaan AS, di sini, petang tadi.

Terdahulu Kamil bersama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Imam Muda Ashraf menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS di Malaysia, kira-kira jam 3.30 petang tadi.
Selain itu, Kamil juga memberitahu, wakil Kedutaan AS menghormati hak dan kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara dan berhimpun secara aman dalam menyatakan bantahan kepada tindakan rejim Israel terhadap 23 rakyat Malaysia.
“Wakil Kedutaan AS juga memaklumkan kepada kita bahawa mereka menghormati hak kebebasan kita untuk bersuara dan berhimpun,” katanya.
Kamil turut mengulangi desakannya agar Kerajaan AS akan menggunakan pengaruhnya ke Israel untuk menghentikan semua tindakan ketenteraan dan genosid ke atas rakyat Palestin.
“Justeru kita teruskan himpunan kita mendesak kerajaan AS menggunakan pengaruhnya ke atas Israel untuk menghentikan kekejaman, penindasan, kezaliman dan pembunuhan yang sedang berlaku di Gaza dan rakyat Palestin.
“Ingat, ini bukan kemenangan mudah untuk kita, desakan, tuntutan kita harus teruskan, ini bukan pengakhiran, ini juga bukan permulaan, ini perjuangan kita untuk masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















