KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat dengan penuh teliti kejadian tular berhubung pengurusan haiwan liar dalam kampus.
Universiti itu menambah, ia akan terus berusaha mengekalkan keseimbangan antara aspek keselamatan warga kampus, kebajikan haiwan serta imej dan reputasi universiti agar semua pihak mempunyai keyakinan terhadap pendekatan yang dilaksanakan.
“UPM menzahirkan rasa kesal dengan insiden yang sedang tular ini. Sebagai institusi yang menjunjung tinggi aspirasi kesihatan planet termasuk kebajikan dan kesejahteraan haiwan, UPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan kejadian yang telah UPM juga memandang serius setiap maklum balas serta dakwaan yang ditujukan kepada universiti berkaitan pengendalian haiwan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa UPM melantik sebuah syarikat perkhidmatan berpengkalan di Sentul untuk membunuh anjing dengan bayaran RM400 seekor.
Katanya, mereka mempunyai bukti yang mengesahkan sekurang-kurangnya 15 ekor anjing telah dibunuh syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, UPM menegaskan ia sentiasa komited memastikan setiap tindakan berkaitan pengurusan haiwan dilaksanakan dengan tanggungjawab, beretika dan memenuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. -MalaysiaGazetet
















