Danish Hairudin
Danish Hairudin

 

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk membuktikan pendirian tegas Malaysia terhadap isu Palestin.

Sebaliknya, ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin menegaskan tuduhan Armada bahawa Malaysia melepaskan peluang menyatakan pendirian di UNGA menunjukkan ketidakmatangan dan kefahaman sempit terhadap realiti diplomasi antarabangsa.

“Kehadiran di UNGA bukanlah ukuran tunggal keberkesanan diplomasi. Hakikatnya, kerajaan telah menggunakan saluran yang jauh lebih konstruktif dan berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Danish, Malaysia memilih untuk mengukuhkan peranan diplomatik melalui Doha Forum dan hubungan rapat dengan Qatar, yang diiktiraf sebagai mediator utama dalam rundingan damai konflik Palestin.

“Pendekatan ini lebih bermakna berbanding sekadar berucap di pentas UNGA tanpa hasil nyata,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan, penglibatan Malaysia dalam menyokong Global Sumud Flotilla (GSF) membawa mesej solidariti yang lebih berkesan kepada dunia dengan tindakan konkrit menghantar kapal kemanusiaan ke zon konflik.

“Perdana Menteri juga menjadi Penaung Sumud Flotilla Nusantara yang memainkan peranan besar dalam membantu para sukarelawan,” jelasnya.

Selain itu, katanya, Malaysia turut menggunakan platform seperti Sidang Kemuncak ASEAN dan hubungan dua hala dengan negara seperti Amerika Syarikat, Brazil, dan Afrika Selatan bagi membina tekanan antarabangsa terhadap Israel.

Danish menegaskan tuduhan bahawa Perdana Menteri ‘bermain politik’ dengan menghadiri majlis di Timor-Leste berbanding UNGA adalah tidak berasas kerana setiap langkah diplomatik kerajaan mempunyai pertimbangan strategik yang menyeluruh.

“Perdana Menteri dan kerajaan Madani telah, sedang dan akan terus konsisten memperjuangkan isu Palestin melalui saluran berkesan. Armada perlu henti politik retorik dan menyokong langkah diplomatik yang lebih strategik.

“Jika Armada benar-benar serius memperjuangkan Palestin, mereka seharusnya menyokong usaha diplomatik kerajaan, bukannya memperlekehkan usaha yang sedang dijalankan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast