Mohd Puad Zakarshi

 

KUALA LUMPUR – Penganjur Global Travel Meet 2025 Gala Dinner pastinya tidak akan menyediakan minuman keras sekiranya pihak itu menerima nasihat, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penjelasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa acara majlis makan malam sempena persidangan itu ditaja pihak industry dan swasta amat cetek.
Jelasnya, Global Travel Meet adalah anjuran Tourism Malaysia dan sudah tentu acara majlis makan malam sempena persidangan tersebut akan dihadiri oleh ramai pegawai kerajaan dan orang Islam.
“Penganjur tidak akan sediakan arak jika mereka dinasihati. Apakah tanpa arak pelancong dan agensi luar tidak mahu datang melawat Malaysia?,” soal Puad.
Tegasnya, sudah tentu pelancong datang ke Malaysia bukan kerana arak.
Dan sudah pasti ejen pengembaraan luar negara tidak mempromosi negara sebagai destinasi pelancongan kerana bebas minum arak.
Oleh itu, Puad menyifatkan King Sing terlajak bagi alasan.
Semalam, King Sing menegaskan penganjuran majlis makan malam dalam program Global Travel Meet 2025 merupakan inisiatif daripada pemain industri dan sektor swasta.
Menurut Menteri itu, pada peringkat awal, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia berperanan sebagai penganjur utama.
Namun, selepas melihat potensi besar program tersebut dalam menarik peluang perniagaan, pihak industri swasta tampil secara sukarela untuk mengambil alih penganjuran acara makan malam berkenaan.
Dakwa King Sing, Ketua Pengarah Tourism Malaysia telah memaklumkan kepadanya mengenai perubahan itu dan mendapatkan persetujuan rasmi bagi membolehkan pihak swasta menerajui penganjuran acara tersebut.
“Sudah tentu saya bersetuju kerana ia membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Justeru, saya tidak nampak apa-apa yang salah dengan perkara ini.
“Apabila pemain industri menyatakan minat mereka untuk menganjurkan majlis makan malam gala, kami berkata, ‘Kami berbesar hati! Sila dan teruskan.’
“Jika mereka sanggup menanggung kos dan membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan, mengapa pula kita tidak menyokongnya?” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mendakwa terdapat minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis makan malam gala tersebut sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan program lebih awal.
King Sing pada Sabtu menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menguruskan program Global Travel Meet selama dua hari setengah, bukan acara makan malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast