KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan telah meninggalkan Istana Seri Kinabalu di Kota Kinabalu, Sabah jam 10.15 pagi tadi.
Beliau dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman selama sejam.
Hajiji bagaimanapun dilihat hanya menunjukkan isyarat tanda bagus kepada pengamal media semasa keluar dari Istana Seri Kinabalu tanpa memberi sebarang kenyataan.
Setakat ini masih tiada kenyataan bertulis secara rasmi atau undangan sidang media dikeluarkan berhubung pertemuan itu.
Kira-kira 8.50 pagi tadi, media melaporkan Hajiji dilihat memasuki Istana Seri Kinabalu untuk bertemu Musa dan dijangka membuat pengumuman mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas pertemuan itu.
Jumaat lalu, Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri negeri itu berkata, pihaknya akan membuat jemputan untuk sidang media berkaitan pembubaran DUN Sabah apabila tiba masanya namun sehingga kini masih belum ada jemputan mengenainya dibuat.
DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal seterusnya memberi laluan bagi PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.
Tempoh ini dikira bermula dari tarikh persidangan pertama DUN Sabah Ke-16 iaitu pada 12 November 2020. -MalaysiaGazette
















