KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala isteri bersama tiga anaknya termasuk bayi tujuh bulan parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22, Shah Alam, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 1.20 tengah hari.
Susulan itu katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga FLX dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik.
“Mangsa lelaki berusia 39 tahun ditemui tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan jam 1.45 petang.
“Manakala mangsa wanita berusia 38 tahun serta tiga anak perempuan masing-masing berumur 7 tahun, 4 tahun dan bayi berusia 7 bulan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa parah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















