PUTRAJAYA – Sebanyak 72 sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tidak lama lagi.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pelaksanaan tersebut akan berlangsung selama dua hari bermula 27 Oktober ini.
“Sekolah tidak ditutup tapi yang dilakukan adalah pelajaran dalam talian. Jadi, pembelajaran akan berlangsung dalam proses PdPR, seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas selesai TownHall AntiBuli #GenerasiTanpaBuli Bersama Wakil Murid Di Bawah KPM di Bahagian Hal Ehwal Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Persidangan kemuncak ASEAN bakal bermula pada 26 Oktober ini dan dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini, dengan kehadiran kuasa besar dunia yang berpengaruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump antara yang dijangka hadir.
Selain itu, kemungkinan Presiden China, Xi Jinping serta ketua kerajaan negara ASEAN dan rakan dialog juga akan hadir.
Sementara itu, Fadhlina memaklumkan akan menjawab isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 Siri 3 mengenai projek kritikal tertangguh pada persidangan Dewan Rakyat esok.
“Mengenai laporan itu, esok saya akan jawab di Parlimen. Jadi, saya ingat itu dulu dari segi respon awal. Kerana ruang esok adalah ruang untuk setiap negeri menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut,” jelasnya.
Sebagai info, Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan jumlah tertinggi projek kritikal tertangguh di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), menurut LKAN 3/2025 Siri 3 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
KPM merekodkan 46 daripada 157 projek tertangguh di bawah 18 kementerian sehingga 31 Disember 2024. – MalaysiaGazette
















