ISKANDAR PUTERI – Kejadian bot nelayan dinaiki dua pemancing karam dengan seorang daripadanya masih hilang, berpunca ketika sauh bot tersangkut ketika mereka mengubah laluan lalu terbalik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad yang turun di lokasi kejadian petang tadi berkata, punca kejadian tersebut dimaklumkan kepadanya oleh pihak terbabit.
Katanya, mangsa yang dikhuatiri lemas itu bersama-sama rakannya pergi menangkap ikan di Selat Tebrau berhampiran Kampung Tebing Runtuh, di sini.
“Mangsa adalah anak nelayan di kampung berkenaan namun kini sudah berpindah ke Taman Mutiara Rini, Skudai, di sini.
“Bagaimanapun pada hari cuti bekerja, mangsa ke laut untuk menangkap ikan bersama-sama rakannya untuk mencari rezeki tambahan bagi keluarga,” katanya ketika dihuhungi.
Menurutnya, difahamkan ketika kejadian bot jenis gantian kaca yang dinaiki mereka mangsa terbalik dan karam.
“Rakan mangsa selamat sebaliknya mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori masih belum ditemukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.
“Kami difahamkan kedua-dua mangsa berusia 40-an dan seorang yang dikhuatiri lemas masih belum ditemukan. Kedua-duanya adalah pemancing,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Saifulizam Salleh berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa, Alpaizar Abd Mois ditangguh pagi esok berikutan cuaca buruk dan keadaan gelap.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman hingga kedalaman 20 meter dengan jarak 100 meter dari tebing namun mangsa masih gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu portal ini melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala seorang lagi berjaya diselamatkan selepas bot gentian kaca dinaiki karam dalam laut berhampiran kampung tersebut.
Dalam kejadian tersebut, bot berkenaan karam pada jarak 10 meter dari tebing, dua mangsa masing-masing berusia 43 tahun, seorang daripadanya berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum bomba tiba. – MalaysiaGazette
















