Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberi amaran kerajaan berisiko kehilangan kepercayaan rakyat jika gagal mengekang ketirisan hasil negara yang semakin serius.

Beliau berkata, Laporan Audit Negara jelas menunjukkan kelemahan sistemik dalam disiplin fiskal kerajaan apabila hutang Persekutuan mencecah RM1.24 trilion.

Manakala liabiliti keseluruhan negara meningkat kepada RM1.57 trilion, di samping hasil belum dikutip yang tertunggak lebih enam tahun.

“Laporan Ketua Audit Negara bukan sekadar angka. Ia cermin yang memantulkan wajah sebenar kerajaan hari ini. Bila kejujuran hilang dalam tadbir urus, rasuah bukan lagi jenayah ia jadi budaya,” katanya ketika membahaskan laporan di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Fayhsal turut menegur kegagalan kerajaan mengawal kebocoran hasil akibat penyeludupan dan aktiviti kontraban yang menurutnya berpunca daripada kelemahan sistem pemantauan kastam dan cukai.

Beliau berkongsi pengalamannya di Kenya, yang mana sebuah syarikat milik anak Malaysia dilantik mengurus sistem pemantauan kastam di beberapa negara Afrika Timur dan berjaya meningkatkan kutipan cukai sehingga 20 peratus.

“Kalau Kerajaan Madani berani ambil langkah reformasi dan memperkenalkan sistem sama di Jabatan Kastam, saya yakin ketirisan hasil boleh dikurangkan dan subsidi minyak dapat ditampung tanpa menambah hutang,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau membidas kelemahan kerajaan mengurus projek pembangunan dengan berkesan apabila 8,755 projek bernilai RM315.392 bilion dilapor gagal atau lewat disiapkan serta kerajaan tidak mengutip RM54.5 juta penalti daripada syarikat konsesi.

“Ini bukti disiplin fiskal kerajaan longgar dan tiada akauntabiliti. Ia bukan kelemahan teknikal, tetapi kelemahan struktur pentadbiran,” ujarnya.

Wan Fayhsal turut menzahirkan rasa kesal terhadap projek keselamatan di Pulau Mabul, Sabah, yang masih tertangguh hampir sedekad dan menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas.

“Rakyat tidak mahu slogan Kerajaan Madani yang indah di atas kertas. Mereka mahu integriti yang nyata dalam tindakan. Setiap sen hasil negara mesti sampai kepada rakyat bukan kepada kroni,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast