KUALA LUMPUR – Penduduk Sabah mengimpikan sebuah kerajaan negeri yang stabil, tidak mudah tumbang, mampu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan benar-benar fokus membantu mereka.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, Sabah sendiri memerlukan hala tuju yang jelas untuk menarik pelaburan, menyelesaikan masalah prasarana asas, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjamin masa depan generasi muda.
Hakikatnya, menurut bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan, parti-parti tempatan sendiri tidak bersatu dan turut bertanding sesama mereka, di sebalik perdebatan mengenai parti tempatan dan parti nasional menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.
“Akhirnya, undi rakyat akan menjadi penentu. Pilihlah pasukan yang membawa kestabilan, bukan kekeliruan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus membuka laluan kepada PRN-17.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN.
Sementara itu, Salleh berkata, susulan pembubaran DUN Sabah semalam, mandat bagi membentuk kerajaan negeri baharu kini dikembalikan semula kepada rakyat.
Jelasnya, pentas persaingan PRN-17 terbuka luas dengan semua parti akan tampil dengan calon dan tawaran masing-masing kepada rakyat.
“Rakyat akan membuat penilaian bukan hanya berdasarkan janji, tetapi juga prestasi lalu dan kewibawaan calon yang diketengahkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















