JOHOR BAHRU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini melupuskan 651 kilogram dadah bernilai RM43 juta yang sudah selesai perbicaraan di mahkamah bagi kes tahun 2000 hingga 2024.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pelupusan barang kes dadah dan peralatan memproses dadah itu dilakukan selepas mendapat kebenaran dan perintah mahkamah.
Barang kes dadah yang dilupuskan melibatkan 4,528 kertas siasatan yang sudah selesai perbicaraan melibatkan kes bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun (AR) 1952.
Antara barang kes dadah yang utama yang akan dilupuskan heroin seberat 51.81 kilogram (kg) bernilai RM1,445,403; ganja (17.10kg) bernilai RM513,166 dan ketamin (94.39kg) bernilai RM 18,879,900.
Ini termasuk methamphetamine (49.65 kg) bernilai RM5,462,028; MDMA (105.64kg) bernilai RM 16,856,337 dan Nimetazepam (1.59kg) bernilai RM159,259.
Selain itu, daun ketum (325.38kg) bernilai RM13,015; air ketum (5,120.92 liter) bernilai RM 153,627; pil yaba (193.14 gram) bernilai RM14,485; cecair vape (456.10 gram) bernilai RM45,609 dan cecair bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah (6,666 liter).
“Anggaran keseluruhan dadah yang dilupuskan berjumlah 651,892.25 gram manakala dalam bentuk cecair 12,243.02 liter.
“Jumlah harga pasaran bagi semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM43,542,832 dan dadah berkenaan jika terlepas ke dalam pasaran, ia boleh digunakan oleh 1.39 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.
Menurutnya, bagi mematuhi kehendak piawaian alam sekitar, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor menggunakan khidmat dan kepakaran syarikat Sailcott (M) International Sdn Bhd.
“Syarikat ini menggunakan fasiliti terbaharu iaitu insinerator yang menghasilkan tenaga baharu, teratur dan bebas pencemaran,” katanya.
Tambahnya, pelupusan akan dilakukan di Tapak Pelupusan Radicare (M) Sdn Bhd di Telok Panglima Garang, Selangor. – MalaysiaGazette
















