Mas Imran (kiri) dan Faridah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Sai Jeevithasri sambil diperhatikan Sarahmary (kanan) di rumahnya di Taman Megah Ria, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – M Sai Jeevithasri baru berusia tujuh tahun, namun perjalanan hidupnya tidak seperti kanak-kanak sebaya kerana terpaksa berjuang melawan kanser otak yang hidapinya sejak tiga tahun lalu.

Menurut ibu kanak-kanak tersebut, R Sarahmary, 43, pada usia muda Sai Jeevithasri diuji apabila sudah dua kali menjalani pembedahan kepala, 32 kali rawatan radioterapi selain lapan kitaran kemoterapi.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu juga pernah kehilangan daya penglihatan, pendengaran serta terlantar hingga keluarganya hampir putus harapan.

Namun ujarnya, harapan hidup anaknya itu seakan kembali menyinar selepas tahap kesihatan Sai Jeevithasri lebih baik apabila berjaya menamatkan rawatan April lalu.

Dia bangga apabila semangat juang Sai Jeevithasri turut menarik perhatian dan kerap dipuji doktor dan kakitangan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

“Dia mula sakit pada September 2023, simptomnya pada permulaan hanya demam dan kurang selera makan sebelum mengalami sakit belakang leher.

“Selepas menjalani pemeriksaan asas di klinik, dia dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sebelum doktor mengesahkan anak kami mempunyai ketumbuhan di otak dan perlu dibedah.

“Fasa itu amat berat bagi kami kerana tahap kesihatannya merosot mendadak hingga tidak dapat berjalan walaupun sebelumnya Sai Jeevithasri merupakan aktif serta gemar aktiviti renang,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan wakil-wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir di rumahnya di Taman Megah Ria, di sini, hari ini.

Mereka yang hadir Pengerusi Pertubuhan Malaysia Consultative Council for Buddhism, Christian, Hindu, Sikh and Taoisme, R Karrupiah; Pengerusi Persatuan Hindu Sangam Johor, K Vijayan; Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia, Faridah P Hamsa dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Kehadiran mereka adalah untuk memberi sokongan moral kepada keluarga Sarahmary selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban.

Bercerita lanjut, Sarahmary berkata, anaknya itu kemudian menjalani pembedahan selama sembilan jam pada 6 November 2023 bagi membuang ketumbuhan sebelum doktor mengesahkan Sai Jeevithasri menghidap kanser.

Sarahmary berkata, malangnya ketumbuhan anaknya tidak dapat dibuang secara keseluruhannya kerana boleh membahayakan nyawanya.

“Ketumbuhan berkenaan adalah sebesar 5 milimeter (mm) dan selepas dibuang sebahagiannya tinggal sebesar 4mm.

“Dia menjadi kritikal apabila mengalami pendarahan selepas pembedahan pertama sebelum kepalanya terpaksa dibedah kali kedua,” ujarnya.

Hampir sebulan dia dirawat di HSA katanya, Sai Jeevithasri kemudian dirujuk ke HSI bagi menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

“Dia menjalani radioterapi lima kali seminggu dan kami dapat melihat perkembangan baik dan tahap kesihatannya,” katanya.

Sarahmary berkata, Sai Jeevithasri kini mampu melihat, berbual secara perlahan dan menggerakkan tangan serta kakinya.

“Kami dimaklumkan keadaan Sai Jeevithasri tidak boleh sembuh 100 peratus dan saiz ketumbuhannya yang terkini adalah 0.8mm.

“Dia memang rindu mahu ke kolam renang serta bermain namun kami terpaksa memujuknya.

“Sudah dua tahun kami tidak meraikan Deepavali kerana fokus kepada rawatan serta kesihatan Sai Jeevithasri,” katanya.

Dalam pada itu, dia terharu menerima kunjungan NGO terbabit tanpa mengira bangsa dan berterima kasih dengan sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 dari Pasaraya Econsave.

“Saya amat terharu, ini adalah suatu yang tidak ternilai bagi kami, diharap ada keajaiban bagi Sai Jeevithasri,” katanya.

Sementara itu, Faridah berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat menjejaki keluarga Sai Jeevithasri sempena sambutan Deepavali yang akan diraih minggu depan.

“Saya berasakan kita tidak perlu memandang latar belakang seseorang untuk menyampaikan sumbangan.

“Apa yang penting kita rakyat majmuk, kita rakyat penyayang, kita seharusnya bersyukur dapat meringankan beban yang memerlukan.

“Mereka hanya menerima bantuan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta bergantung kepada pendapatan tidak tetap suaminya yang bekerja sebagai tukang cat kereta serta menyara anak sulung yang belajar di tingkatan satu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast