KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK) mempersoalkan langkah Tourism Malaysia mempromosikan acara Nights of Fright 11 yang dikaitkan dengan budaya Halloween di laman sosial Facebook agensi tersebut.
Presiden Team DSK, Datuk N. Sivakumar berkata, budaya Halloween tidak berakar dalam masyarakat tempatan sekali gus tidak wajar diangkat sebagai bahan promosi rasmi kerajaan.
Malah, menurut beliau, berbanding budaya Halloween, adalah lebih baik Tourism Malaysia mempromosikan Pesta Cahaya yang bakal diraikan oleh kaum India pada 20 Oktober ini.

“Banyak tempat mengadakan bazar, promosi dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti pembangunan ekonomi sempena sambutan Deepavali atau Pesta Cahaya itu kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, laman sosial Facebook Tourism Malaysia menerima kritikan daripada pengguna maya selepas mempromosikan acara Nights of Fright 11 iaitu sebuah tarikan bertema seram Halloween yang berlangsung pada 26 September hingga 2 November ini di sebuah taman tema popular di ibu negara.
Sementara itu, Sivakumar berkata, Tourism Malaysia sepatutnya mempunyai garis panduan dan tatacara dalam mempromosikan aktiviti kebudayaan dengan memastikan perayaan utama yang diraikan rakyat negara ini tidak diabaikan.
Apatah lagi, katanya, negara ketika ini juga sedang mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang sepatutnya lebih menyerlahkan identiti pelbagai agama dan kaum negara ini, bukan budaya dari Barat seperti Halloween.
“Janganlah sehingga abaikan perayaan yang diraikan oleh rakyat Malaysia.
“Janganlah sehingga perayaan sendiri tenggelam dalam keseronokan mempromosikan budaya luar.
“Perkara ini perlu dikaji dan langkah proaktif perlu diambil bagi memastikan keharmonian negara dan kesejahteraan rakyat dibela,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menetapkan garis panduan terhadap pusat beli-belah supaya sentiasa mempromosikan budaya dan warisan sesebuah kaum di premis mereka.
Jelasnya, menerusi pendekatan itu, pelancong asing khususnya dapat mengenali kepelbagaian budaya dan sambutan perayaan di negara ini, selain dapat mendedahkan rakyat tempatan sendiri khususnya kanak-kanak kepada keharmonian antara kaum. – MalaysiaGazette
















