Abdullah Ali

JOHOR BAHRU – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Johor mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta-merta.

Yang Dipertua Mubarak Johor, Datuk Abdullah Ali berkata, kegagalan bertindak segera akan dilihat sebagai pengkhianatan kepada prinsip tadbir urus yang baik dan mencemarkan maruah pentadbiran.

“Sudah tiba masanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan bahawa prinsip integriti, profesionalisme dan sensitiviti budaya bukan sekadar slogan kosong.

“Kami percaya ramai tokoh lain yang lebih layak, berwibawa dan menghormati nilai serta dasar negara untuk menerajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Kami tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan penghinaan kepada dasar kerajaan, sensitiviti rakyat dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning itu menegaskan, jika Anwar tidak berbuat demikian hanya akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Perpaduan.

Katanya, menghidangkan arak dalam satu majlis rasmi kerajaan adalah jelas mencabul garis panduan dan pekeliling yang telah lama dikuatkuasakan.

Ini juga katanya, mencetuskan kemarahan rakyat yang berpegang kepada nilai moral, agama dan tatasusila penjawat awam.

“Tindakan MOTAC yang hanya mengeluarkan kenyataan (berkenaan isu itu) melalui Unit Komunikasi Korporatnya adalah langsung tidak ‘memadai’ dan bersifat memperlekehkan amaran Perdana Menteri sendiri.

“Tiada permohonan maaf rasmi mahupun penjelasan peribadi daripada Menteri atau Ketua Setiausaha kementerian itu memperlihatkan keangkuhan beliau dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

King Sing katanya, jelas menunjukkan sikap ingkar terhadap arahan Perdana Menteri dan enggan mengambil tanggungjawab penuh atas kecuaian itu.

Tindakannya adalah satu penghinaan terbuka terhadap prinsip akauntabiliti dan integriti pentadbiran awam, ujarnya.

“Larangan arak dalam majlis rasmi kerajaan bukan isu baharu. Dasar ini telah dikuatkuasakan sejak zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dan masih sah sehingga hari ini.

“Wujud surat pekeliling yang jelas di semua peringkat kerajaan. Maka tiada alasan munasabah untuk pelanggaran seperti ini,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan minuman keras dihidangkan dalam majlis makan malam sempena program Global Travel Meet, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Beberapa gambar daripada majlis tersebut menunjukkan King Sing dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir.

Selain Mas Ermieyati, antara yang turut mengecam hidangan arak pada majlis makan malam itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama Pas, Ahmad Yahaya.

Bagaimanapun, King Sing menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan majlis tersebut adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast