Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melantik bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa disebabkan ramai guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengadu terbeban kerana perlu berjaga sehingga lewat malam untuk memantau kawasan asrama.

Sedangkan, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, guru yang sama perlu menyambung tugasan mengajar seawal pukul 6.30 atau 7 pagi di sekolah pada keesokan hari.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi turut mengingatkan yang mana kebanyakan kes-kes buli di asrama sekolah tidak berlaku sebelum pukul 12 tengah malam atau ketika waktu akademik.

Disebabkan itu ketiadaan warden yang memantau secara berterusan pada waktu-waktu berisiko membuka ruang untuk kejadian buli berlaku.

Selain itu, tambah beliau, elaun yang kecil iaitu sekadar RM300 tambahan sebagai warden juga disifatkan tidak berbaloi dengan tanggungjawab tambahan yang terpaksa digalas oleh guru.

Sebaliknya, ujar Asyraf Wajdi, adalah lebih berkesan sekiranya warden yang bertugas sepenuh masa di asrama dilantik untuk memfokuskan pembangunan disiplin dan sahsiah pelajar di luar waktu akademik bermula pukul 6 atau 7 petang.

“Saya tidak pernah mengatakan bahawa pendekatan memilih bekas anggota tentera atau polis sebagai warden asrama itu terbaik, cuma MARA melihat ada keperluan mendesak untuk tangani buli yang makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini dengan mewujudkan warden sepenuh masa,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) berpandangan guru lebih sesuai menjadi warden sekolah berasrama penuh berbanding pesara tentera atau polis.

Menurut Kah Wong, warden sekolah berasrama penuh bukan hanya memainkan peranan sebagai penjaga, sebaliknya turut berperanan sebagai loco parentis yang dapat memberi bimbingan pendidikan, disiplin dan pembentukan sahsiah murid.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, adalah terlalu pramatang untuk beliau mengulas keberkesanan perlantikan warden dalam kalangan bekas tentera atau pasukan beruniform lain buat masa ini.

Sebaliknya, jelas beliau, adalah lebih baik program rintis melantik warden dalam kalangan pesara polis dan tentera yang sedang berjalan dan memasuki bulan ketiga di beberapa MRSM ketika ini selesai dalam tempoh enam bulan tempoh penilaian.

“Selepas enam bulan, pasukan penyelidik yang merupakan pihak ketiga dan bebas daripada UPM akan membuat penilaian dan penyelidikan mengenai inisiatif MARA ini.

“Insya-Allah saya pasti akan kongsikan dapatan kajian sama ada positif mahupun negatif, untuk diangkat kepada YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri yang bertanggung jawab ke atas MARA untuk membuat keputusan sekaligus berkongsi dapatan ini dengan Jemaah Menteri,” katanya.

MARA ketika ini sedang  melaksanakan tempoh percubaan selama enam bulan dengan menempatkan bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa di dua MRSM sebelum ia diperluaskan.

Setakat ini, dua MRSM dijadikan projek perintis itu adalah MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast