KUALA LUMPUR – Pembebasan sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia daripada tahanan Israel membawa kelegaan besar, namun ia tidak sekali-kali menghapuskan jenayah yang telah dilakukan terhadap mereka dan seluruh misi kemanusiaan dunia.
Penahanan itu, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bukan insiden terpencil, tetapi sebahagian daripada siri serangan terancang dan sistematik rejim Zionis di perairan antarabangsa dimana satu tindakan yang disifatkan sebagai antara pelanggaran paling keji terhadap undang-undang maritim antarabangsa.
“Tindakan jenayah ini membuktikan tanpa keraguan – kita sedang berdepan dengan rejim yang beroperasi tanpa sebarang batas undang-undang, mencabar mahkamah antarabangsa, melanggar undang-undang maritim dan menghukum rakyat awam secara kolektif,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Insiden pemintasan flotila, termasuk kapal kargo Annie pada Jun dan rampasan ganas kapal utama Handala pada Julai lalu, membuktikan niat jahat Israel untuk menghalang lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza. Kapal itu membawa aktivis, doktor, peguam, wartawan serta bekalan penting untuk penduduk yang kelaparan.
Serangan tersebut berlaku selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan kebarangkalian berlakunya genosid di Gaza — menjadikan tindakan Israel terhadap misi flotila sebagai satu penghinaan terbuka terhadap keputusan badan tertinggi dunia itu.
“Menyerang flotila kemanusiaan dalam konteks ini umpama meludah ke muka undang-undang antarabangsa,” tegas Nurul Izzah.
Beliau menambah, sekatan haram ke atas Gaza yang terus dilaksanakan adalah bentuk keganasan negara.
“Seperti didokumentasikan oleh Amnesty International, Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang. Ini bukan dasar luar biasa, ini kejahatan yang diinstitusikan,” katanya.
Nurul Izzah turut memuji keberanian delegasi Malaysia yang berlayar bersama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) antaranya Prof. Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauziah Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof. Dr. Afandi Salleh dan rakan-rakan mereka kerana sanggup mempertaruhkan nyawa demi kemanusiaan.
“Keberanian mereka menjadi cahaya dalam kegelapan konflik ini. Kita tidak akan berdiam diri. Kita menuntut pertanggungjawaban, pengakhiran kepungan genosid, kebebasan untuk semua tahanan Palestin termasuk kanak-kanak, dan keadilan untuk Palestin,” ujar Nurul Izzah lagi. – MalaysiaGazette

















pergi lah ikut delegasi sumud jangan cakap saja. menangguk di ayer keruh