Kompleks Mahkamah Selayang. (Gambar hiasan).

SELAYANG – Gara-gara memijak kepala anak saudara berusia 10 tahun kerana mengambil pemetik api, seorang penjual pakaian dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Norasmad Mohd Hussin, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Sabreena Bakar@ Bahari.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 28 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada anak saudara lelakinya di sebuah rumah di Taman Samudera, Batu Caves, di sini pada pukul 1 pagi, 26 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga ibu mangsa melihat adiknya iaitu tertuduh memijak kepala kanak-kanak berkenaan di sebuah bilik di kediaman mereka.

Setelah ditanya, tertuduh memberitahu kanak-kanak itu mencuri pemetik api miliknya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Iqbal Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana dia telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast