KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang penjawat awam yang juga pemilik sebuah syarikat sukan disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan kelengkapan sukan sebuah sekolah berjumlah kira-kira RM23,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 10 pagi semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020 dengan mengemukakan tuntutan pembekalan kelengkapan sukan bagi sebuah kejohanan sukan peringkat sekolah-sekolah Malaysia sedangkan ia tidak dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, bagaimana pun suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM. – MalaysiaGazette
















