Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bercakap pada sidang media selepas sesi Pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI ketika hadir di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mampu membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara menerusi Belanjawan 2026 bernilai RM470 bilion walaupun jumlah dividen daripada Petronas berkurang tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, belanjawan terbesar itu membuktikan asas ekonomi negara kekal kukuh yang disumbangkan daripada hasil-hasil lain.

“Walaupun dividen Petronas kurang daripada yang kita dapat tahun ini, tapi Alhamdulillah hasil yang kita ada lebih cukup untuk membentangkan bajet paling besar iaitu RM470 bilion dengan menggunakan sokongan daripada badan-badan lain,” katanya.

Amir Hamzah yang juga memangku tugas dan fungsi Menteri Ekonomi ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2026 di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan turut mengambil pendekatan berhati-hati dalam merangkan Belanjawan 2026 dengan mengambil kira andaian harga minyak dan gas yang realistik.

“Unjuran kita dalam belanjawan mengambil kira persekitaran harga minyak yang ada.

“Bajet selalu ada assumption (jangkaan) mengenai harga minyak, kita merupakan kerajaan yang balance (seimbang), tidak menekan untuk Petronas untuk memberi lebih kalau harga minyak turun dan dividen pun akan turun selari dengan penurunan.

“Ia menunjukkan situasi yang sebenar,” katanya.

Tambah beliau, keutamaan kerajaan juga bukan hanya memastikan aliran tunai jangka pendek tetapi juga mengekalkan kemampuan Petronas untuk terus melabur dan membangunkan industri petroleum di luar negara bagi menjana pulangan masa depan kepada negara.

“Yang penting untuk kita ialah Petronas terus mempunyai dana mencukupi untuk membangunkan industri petroleum di luar negara agar dapat memberi pulangan kepada Malaysia.

“Setakat mana mereka boleh, mereka akan menolong dari segi dividen,” katanya.

Kerajaan Persekutuan memperuntuk sejumlah RM470 bilion bagi Belanjawan 2026, berbanding RM421 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata, hasil kerajaan daripada sektor petroleum dijangka terus berkurang pada 2026 kepada RM43 bilion bersamaan 12.5 peratus daripada jumlah hasil kerajaan.

Penurunan itu disebabkan harga minyak mentah dunia yang rendah dan pengurangan dividen daripada Petronas.

Menurut MOF, Petronas dijangka membayar dividen sebanyak RM20 bilion tahun depan, manakala cukai pendapatan petroleum (PITA) dianggarkan RM15.7 bilion dan royalti petroleum sebanyak RM5.1 bilion.

Awal tahun ini, laporan media menyebut kerajaan menjangkakan Petronas mengekalkan bayaran dividen sebanyak RM32 bilion walaupun keuntungan syarikat itu susut 32 peratus pada 2024.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pertumbuhan ekonomi negara tahun depan kekal disasarkan antara 4 hingga 4.5 peratus, mengambil kira persekitaran ekonomi dunia yang sedikit perlahan.

Bagaimanapun, ujarnya, sasaran pertumbuha itu masih dianggap berada pada landasan lebih baik berbanding negara-negara serantau lain.

“Sasaran tersebut merupakan angka yang memberangsangkan dan memudahkan kita untuk membangunkan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast