GEORGE TOWN – Dua buah restoran masakan Thai dan nasi Arab berdekatan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Gelugor di sini, diarah tutup serta-merta selama 14 hari.
Penutupan itu dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut semalam mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, susulan penemuan lipas hidup berkeliaran di dapur serta najis tikus dan lipas pada peralatan dan persekitaran dapur restoran.
Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, M. Shashikumaran berkata, pihaknya mengesan sebanyak 11 kesalahan di restoran masakan Thai itu termasuk kegagalan pengendali makanan mendapatkan suntikan anti tifoid dan tidak menghadiri kursus latihan pengendalian makanan.
“Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk tidak meletakkan label pada bekas makanan, menyimpan peti sejuk rosak di premis, ayam tidak dinyahbeku dengan betul serta penggunaan perkakasan makanan yang pecah.
“Najis tikus turut ditemui di atas peti sejuk lama yang tidak digunakan dan diletakkan di hadapan premis, manakala keadaan lantai, dinding, siling dan dapur amat kotor.
“Dua kompaun turut dikeluarkan ke atas pemilik premis tersebut masing-masing mengikut Peraturan 35(1)(a) dan Peraturan 11(1)(c) di bawah Akta Makanan 1983 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,000,” katanya ketika ditemui semasa operasi berkenaan.
Tambah beliau, bagi restoran nasi Arab pula, ia dipenuhi lipas selain najis lipas ditemui di atas peti sejuk yang tidak lagi digunakan.
“Sebanyak 12 kesalahan direkodkan termasuk pengendali tiada suntikan tifoid, tong sampah tidak bertutup serta kebersihan lantai, dinding, penyedut asap dan peti sejuk yang sangat tidak memuaskan,” katanya.
Kedua-dua premis berkenaan dipercayai sering menjadi tumpuan pelajar institusi berhampiran dan lokasi lepak popular pada waktu malam. – MalaysiaGazette














