Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

MELAKA – Insiden pelajar tingkatan 3 dipercayai dirogol bergilir-gilir oleh beberapa pelajar senior dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu membuktikan krisis moral yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.

Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan kes menggemparkan negara ini bukan lagi terpencil malah memperlihatkan kegagalan sistem pendidikan dalam membentuk sahsiah pelajar.

“Kejadian-kejadian seperti kini menjadi gejala berulang, dari kes buli, pergaduhan, penyalahgunaan dadah hingga kepada jenayah seksual.

“Semua ini menuntut perhatian serius daripada kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban berkata, sudah tiba masanya kerajaan negeri melihat isu ini sebagai krisis moral generasi muda yang perlu ditangani secara serius, bersepadu dan berterusan bukan hanya selepas tragedi berlaku.

“Pendidikan bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan, tetapi juga membentuk insan berakhlak dan berjiwa ihsan.

“Soalnya, di manakah peranan pendidikan agama dan moral dalam membina sahsiah pelajar? Adakah nilai-nilai murni yang diajar di sekolah hanya tinggal teori di atas kertas tanpa penghayatan sebenar?” tegasnya.

Beliau turut mendesak kerajaan negeri tampil menjelaskan langkah-langkah konkrit yang telah dan akan diambil bagi menangani peningkatan kes salah laku pelajar di sekolah.

“Saya cadangkan supaya dipanggil mesyuarat khas bersama semua pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan, (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) PIBG dan badan keagamaan.

“Ini penting bagi merangka pelan jangka panjang memperkukuh pendidikan agama, bimbingan rohani serta intervensi psikologi di sekolah,” katanya.

Terdahulu, laporan ekslusif MalaysiaGazette mendedahkan kejadian rogol berlaku kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.

Mangsa dipercayai diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek, manakala dua lagi rakan mereka menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.

Kejadian terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.

Susulan itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan kesemua empat suspek berusia 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan direman selama enam hari sehingga 16 Oktober ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, S.R. Arthana untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast