Para jemaah beratur untuk memasuki balai pelepasan sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang. Foto HARI ANGGARA, 30 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Lebih ramai bakal jemaah haji dijangka mendapat manfaat hasil langkah kerajaan menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan menunaikan ibadat haji kepada RM10,000 berbanding RM3,000 sebelum ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan menyifatkan langkah itu sebagai inisiatif prorakyat yang dapat membantu umat Islam mencukupkan simpanan haji masing-masing.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, kemudahan tersebut selari dengan usaha berterusan TH meningkatkan kesedaran pendeposit untuk menambah simpanan bagi melancarkan urusan ibadat haji.

“Kemudahan ini akan membantu lebih ramai bakal haji negara mencukupkan simpanan mereka. Inisiatif ini juga seiring dengan usaha TH meningkatkan kesedaran para pendeposit agar meningkatkan kadar simpanan bagi melancarkan urusan ibadat haji,” katanya hari ini.

Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam, kerajaan turut memperluas kemudahan pengeluaran Gantian Cuti Rehat (GCR) bagi penjawat awam bagi tujuan menunaikan haji dengan had penebusan RM10,000 melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

TH menyatakan sokongan penuh terhadap langkah itu dan menegaskan ia akan memberi impak langsung kepada kesejahteraan bakal jemaah haji, selain memperkukuh peranan institusi kewangan Islam negara dalam memudahkan urusan rukun Islam kelima tersebut.

“TH berharap sokongan kerajaan dalam mengukuhkan kepentingan bakal haji dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu perjalanan ibadat haji yang mabrur,” ujar Mustakim.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan dalam memperkukuh kebajikan rakyat menerusi pendekatan menyeluruh Belanjawan Madani 2026 yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

TH dalam pada itu akan terus memperluas program kesedaran simpanan haji di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai umat Islam bersedia dari segi kewangan sebelum menunaikan ibadat haji. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast