KOTA TINGGI – Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di sini akan dinaik taraf status menjadi kolej universiti dan kemasukan pertama akan bermula pada tahun hadapan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, naik taraf dibuat selepas kolej tersebut menerima kelulusan pendaftaran oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada enam Oktober lalu.
Pihaknya akan mendapatkan perkenan Yang DiPertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi nama rasmi kolej universiti itu.
“Ini adalah satu kemenangan besar untuk pendidikan negeri johor, selari dengan titah Pemangku Sultan Johor yang mahu mengangkat mutu pendidikan neger,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ ke 26 di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Maahirah Alyyah Ali daripada Diploma Seni Bina menerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor.
Anugerah sama turut diterima Muhammad Firas Aiman Basir, yang menuntut Sijil Kemahiran Malaysia Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Tiga Fasa.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Onn Hafiz mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ ke 26 di Kota Tinggi, hari ini.
















