Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 MEI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Bicara kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, di sini dan sebutan kes buli Zara Qairina Mahathir di Sabah antara prosiding kepentingan awam minggu depan.

Pada Selasa ini, Mahkamah Sesyen di sini dijadual menyambung keterangan salah seorang saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri itu.

Allahyarham Zara Qairina Mahathir

Di Kota Kinabalu pula, Mahkamah Kanak-Kanak menetapkan Khamis ini (16 Oktober) untuk pengurusan kes bagi mengemas kini status penyerahan dokumen.

Dalam kes Guan Eng, ahli perniagaan, Datuk Seri G. Gnanaraja akan menyambung keterangan di hadapan Hakim Azura Alwi pada sesi soal balas pihak pembelaan yang mewakili pemimpin DAP itu.

Pada perbicaraan lalu, Gnanaraja, 44, mengaku berkhidmat untuk bekas Ketua Menteri itu dengan menubuhkan sebuah syarikat dan membuka akaun bank seperti yang dipohon beliau.

Dalam kenyataan saksinya, beliau berkata, syarikat Bumi Muhibah Capital Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2016 bagi tujuan pelaburan dan bertindak sebagai pengeluar wang tunggal untuk memenuhi permintaan Guan Eng berkaitan penyaluran wang hampir RM30 juta.

Bagaimanapun ketika disoal balas oleh peguam Ramkarpal Singh, Gnanaraja menafikan membenarkan syarikat tersebut digunakan untuk melakukan kesalahan, sebaliknya menyatakan, beliau berkhidmat untuk Ketua Menteri dan perlu melaksanakannya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu. Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat miliknya dilantik untuk projek sama. Kesalahan didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Mahkamah Kota Kinabalu

Sementara itu, dalam kes buli Zara Qairina, mahkamah telah menetapkan perbicaraan bermula 9 hingga 20 Disember ini.

Ketika prosiding 25 September lalu yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Elsie Primus, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibenar menjadi pemerhati dalam kes lima kanak-kanak tersebut.

Pihak pendakwaan menyerahkan 15 dokumen kepada kanak-kanak pertama manakala 18 dokumen masing-masing kepada kanak-kanak kedua, ketiga, keempat dan kelima selaras dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah dimaklumkan, lima dokumen tambahan akan diserahkan pada Khamis ini.

Lima remaja perempuan itu didakwa pada 20 Ogos lalu kerana menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengancam, menghina atau bersifat kasar terhadap pelajar berusia 13 tahun itu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth dan dikebumikan pada hari sama di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang.

Beliau dimasukkan ke hospital sehari sebelum itu selepas ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast