Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Tiada warga tempatan terlibat dalam penyalahgunaan dadah sintetik jenis fentanyl susulan rampasan besar-besaran bahan terlarang berkenaan pada Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang laporan atau tangkapan melibatkan individu tempatan berkaitan dadah tersebut.

“Tiada tangkapan baharu dibuat dan belum ada rakyat tempatan yang dikenal pasti menggunakan dadah ini.

“Kami percaya percubaan itu adalah usaha awal sindiket untuk memperkenalkan fentanyl ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket antarabangsa dipercayai cuba menyeludup fentanyl ke dalam negara menggunakan kontena dari sebuah negara jiran di bahagian timur dengan mengisytiharkan kandungannya sebagai bahan sah.

“Mereka menyembunyikan fentanyl di dalam kontena yang diisytiharkan sebagai barangan sah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Namun, hasil risikan dan kerjasama pelbagai agensi, cubaan itu berjaya digagalkan,” tambahnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa walaupun tiada kes penyalahgunaan dikesan setakat ini, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan sindiket dadah akan cuba memperkenalkan fentanyl dalam bentuk lain seperti cecair vape.

Fentanyl ini amat berbahaya dan telah mengorbankan ramai pengguna di luar negara.

“Oleh itu, pihak polis akan terus memperketat kawalan bagi mengelak bahan ini menular ke dalam negara,” tambahnya.

Media sebelum ini melaporkan cubaan membawa masuk hampir satu tan fentanyl dari negara Timur telah digagalkan dalam siri operasi di Negeri Sembilan dan Melaka pada 19 Ogos lalu.

Operasi berkenaan, dikenali sebagai Op Black Ash, dilaksanakan oleh pasukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast