Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran bunga ganja yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu, selepas menahan tujuh individu termasuk dua wanita dalam beberapa siri serbuan minggu lalu.

Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut membawa kepada rampasan 173.14 kilogram ganja bernilai hampir RM6 juta, hasil empat serbuan menerusi Op Sungkai antara 3 hingga 5 Oktober lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Subang Jaya dan berjaya menahan dua lelaki serta seorang wanita selain merampas lebih 116 kilogram ganja dalam 158 bungkusan.

“Serbuan kedua dijalankan di Petaling Jaya, di mana dua lelaki ditahan di tepi jalan bersama 12 bungkusan bunga ganja seberat 12.52 kilogram yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

“Serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah hotel di Selayang dan membawa kepada penahanan seorang lelaki serta seorang wanita bersama dua bungkusan bunga ganja seberat 2.1 kilogram.

“Susulan itu, polis menyerbu parkir sebuah kondominium di Petaling Jaya dan menemui 40 bungkusan bunga ganja seberat 41.56 kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas daripada keempat-empat serbuan tersebut dianggarkan bernilai RM5.9 juta dan boleh digunakan oleh kira-kira 263,000 penagih.

Beliau berkata, sindiket itu menggunakan rumah sewa di sekitar Lembah Klang sebagai stor simpanan sebelum dadah diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Siasatan mendapati setiap suspek mempunyai peranan tersendiri. Ada yang mengurus penghantaran, ada yang bertindak sebagai penyimpan, manakala seorang lagi menjadi pengangkut utama,” tambahnya.

Hasil siasatan mendapati, empat daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah, dengan seorang daripadanya memiliki 18 rekod kesalahan terdahulu.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati semua suspek negatif dadah.

“Mereka kini direman antara 4 hingga 19 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah sitaan bernilai RM129,000 melibatkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V dan Perodua Ativa.

“Kami juga sedang memburu sakit baki sindiket yang dipercayai masih bebas termasuk dalang utama kegitan berkenaan.

“PDRM secara tegas tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran atau penyalahgunaan dadah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast