Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad bercakap kepada media mengenai perkembangan kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka ketika di Bangunan Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan garis panduan keselamatan asrama, bilik darjah dan kantin di seluruh institusi pendidikan miliknya selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, garis panduan baharu itu setelah Jemaah Nazir di seluruh negara melakukan audit keselamatan melibatkan lebih 1,000 sekolah dan asrama yang dilawati.

“Kita akan keluarkan, sebaik saja semua Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah (JKKS) tamat kerja-kerja mereka, kita akan keluarkan Insya-Allah pada Disember ini.

“Insya-Allah Menteri (Pendidikan) akan mengumumkan garis panduan yang kita tambah baik, yang kita murnikan lagi mengikut kesesuaian dan perubahan zaman.

“Ya, kita akan lihat nanti pemantauan yang dijalankan JKKS yang dianggotai wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan agensi-agensi lain melihat dari sekolah, kantin hingga ke asrama pada waktu malam,” katanya pada sidang media di KPM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM sedang melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin murid, termasuk cadangan menggubal Akta Anti-Buli menggunakan sistem tribunal yang kini diteliti Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Menurut Kah Woh, inisiatif itu antara langkah baharu selepas penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan (JKRKIP) serta audit keselamatan di 735 sekolah seluruh negara sejak Ogos lepas.

Data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) menunjukkan 7,681 kes buli direkodkan pada 2024 berbanding 6,528 kes pada 2023, namun Kah Woh berkata, KPM yakin insiden dapat dikurangkan menerusi pendekatan menyeluruh membabitkan sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Dalam pada itu, Azam berkata, JKKS akan menyemak prosedur operasi standard (SOP) garis panduan keselamatan sedia ada untuk dilakukan penambahbaikan.

“Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan beberapa agensi lain bekerjasama membuat semakan, perhatian dan mencadangkan kepada KPM ataupun sekolah dari segi aspek yang perlu diberikan perhatian dalam meningkatkan keselamatan sekolah.

“Semua dapatan daripada JKKS atau inisiatif ini kita akan satukan dan kita akan keluarkan satu garis panduan yang komprehensif, yang menyeluruh.

“Sekarang ini kita nak satukan supaya dia jadi satu garis panduan yang komprehensif, senang dan mudah dirujuk,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast