KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menolak pilihan raya palsu yang dianjurkan oleh junta tentera Myanmar, yang dijadual berlangsung pada 28 Disember ini.
Berikutan itu, Bersih menggesa kerajaan Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN agar tidak mengiktiraf pilihan raya berkenaan serta menarik balik keputusan menghantar pemerhati pilihan raya.
Menurutnya, masyarakat sivil tempatan dan antarabangsa telah mengisytiharkan pilihan raya itu sebagai satu penipuan.
“Junta Myanmar hanya menggunakan pilihan raya itu sebagai teater politik untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa yang akhirnya akan mengorbankan lebih ramai orang awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pilihan raya yang dirancang oleh junta tentera Myanmar itu tidak memenuhi kriteria pilihan raya bebas dan adil serta bertentangan dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Pilihan raya ini tidak mempunyai sebarang kredibiliti dan keabsahan seperti yang dihuraikan dalam laporan Asian Network for Free Elections (ANFREL),” katanya.
ANFREL dalam laporannya menyenaraikan 15 tindakan serius junta Myanmar yang membuktikan penindasan, paksaan serta sistem yang pincang dan berat sebelah.
Antaranya, junta Myanmar telah menahan pengerusi dan dua ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan (UEC) yang berjaya mengendalikan Pilihan Raya Myanmar 2020.
“Pengerusi UEC kemudiannya digantikan dengan bekas Mejar Jeneral tentera yang berpihak kepada junta,” ujar kenyataan itu.
Junta tentera itu turut mengharamkan parti-parti politik yang memenangi lebih 80 peratus kerusi Parlimen pada pilihan raya 2020 serta mengenakan undang-undang menindas termasuk hukuman mati terhadap penentangnya.
Menurut Bersih, junta tentera Myanmar mesti menghentikan keganasan dan penindasan terhadap rakyat negara itu serta membebaskan semua tahanan politik yang mengkritik rejim tersebut.
“Bersih juga menyeru agar junta memulangkan kuasa kepada pemenang sebenar Pilihan Raya Myanmar 2020 sebelum cuba mencari pengiktirafan antarabangsa melalui pilihan raya 2025 yang dirancang,” tambahnya. — MalaysiaGazette
















