Choo Kean Chee didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Seorang buruh binaan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu ketika memohon kad pengenalan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang diperoleh daripada sindiket.

Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Choo Kean Chee, 53, selepas dia membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kean Chee didakwa dengan sengaja memberikan maklumat palsu melalui borang JPN.LM05 yang mengandungi butiran tidak benar bagi mendapatkan kad pengenalan atas nama Choo Li Quan (Daftar Lahir CQ56002).

Tertuduh turut bertindak sebagai penganjur bagi permohonan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Seberang Perai Utara di sini, antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 21 Februari 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat permohonan kad pengenalan di JPN cawangan Bertam di sini, bagi seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Petugas JPN mengesan keraguan apabila wajah kanak-kanak itu tidak seiras dengan individu yang mengaku sebagai ibu bapanya.

Permohonan itu kemudian dirujuk untuk siasatan lanjut, yang mendedahkan kanak-kanak tersebut diperoleh daripada sindiket manakala semua dokumen sokongan turut disediakan oleh sindiket terbabit.

Akibatnya, kanak-kanak berkenaan telah menikmati keistimewaan sebagai warganegara Malaysia secara tidak sah selama 12 tahun.

Ketika prosiding Pegawai Pendakwa JPN, Mohammad Faisal Abdullah, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat memandangkan kes pemalsuan bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri yang didalangi sindiket semakin meningkat dilaporkan ketika ini.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi, merayu hukuman ringan atas alasan dia menghidap penyakit jantung, mempunyai dua anak termasuk seorang berstatus OKU serta menanggung ibunya yang uzur berusia 80 tahun.

“Tertuduh juga bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatannya sekitar RM2,000 sebulan selain kini berstatus duda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast