Gambar yang tular menunjukkan Noryani meneruskan rutin kerja seperti biasa sejak dua bulan lalu membawa anak sulung Muhammad Rayyan Iskandar Muhammad Haidar, 5, dan Muhammad Rayyan Rayfal, 2, di belakang dan Muhammad Rayyan Maleeq, 10 bulan di depan.

MELAKA – “Saya terpaksa membonceng tiga anak bersama untuk mencari rezeki kerana mahu menambah pendapatan membantu suami yang bekerja di bengkel.

“Lagi pun, tak sanggup dengar anak lelaki berusia berusia 10 bulan, dua dan lima tahun merengek minta itu dan ini. Kalau kerja dapatlah RM20 ke RM30 sehari untuk tampung keperluan anak,”.

Itu luahan Noryani Syakira Yaakob, 23, mengenai kesungguhannya mencari rezeki sebagai penghantar makanan p-hailing sambil membonceng tiga anak lelakinya itu yang tular hari ini.

Menurutnya, kejadian itu sebenarnya berlalu dua minggu lalu ketika dia dalam perjalanan menghantar pesanan nasi goreng dari Bukit Katil ke Hospital Melaka dengan upah RM5.

“Waktu itu, saya meneruskan rutin kerja seperti biasa sejak dua bulan lalu membawa anak sulung Muhammad Rayyan Iskandar Muhammad Haidar, 5, dan Muhammad Rayyan Rayfal, 2 di belakang serta Muhammad Rayyan Maleeq, 10 bulan di depan.

“Saya terpaksa bawa anak bersama kerana suami, Muhammad Haidar Abdul Rahimin, 22, juga keluar bekerja di bengkel dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,200,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun pendapatan bersih diperolehi sekitar RM20 hingga RM30 sahaja bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, nilai itu cukup untuk menampung makan minum harian mereka lima beranak.

“Kadang sehari dapat RM20 atau RM30 pun saya bersyukur, asalkan ianya dapat menghilangkan rasa serba salah bila anak minta sesuatu yang tak mampu diberi.

“Dapatlah juga bantu suami tampung keperluan asas anak-anak selain lampin, susu dan sewa rumah di Bukit Lintang RM350 sebulan,” tambahnya lagi.

Menurutnya walaupun terpaksa bawa anaknya itu ke mana-mana, dia gembira kerana dapat memenuhi permintaan membeli makanan ringan atau mainan kecil di kedai.

“Sebelum ini saya pernah kerja sebagai pembantu jualan ayam gunting, tapi sebab saya terpaksa bawa anak bersama jadi ia menyukarkan saya sehingga saya tekad mencari rezeki sendiri.

“Setiap hari selepas sahaja menghantar anak sulung ke tadika di Bukit Katil, saya akan bawa dua lagi anak bersama membuat penghantaran makanan menggunakan motosikal suami sehinggalah tengah hari,” ujarnya.

Noryani berkata, dia bagaimanapun hanya bekerja pada hari cuaca baik dan tidak hujan kerana bimbang keselamatan anak-anak.

Orang ramai yang ingin menyumbang untuk meringankan beban wanita cekal ini boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional BSN 0299541000567835 (Noryani Syakira Yaakob) – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. semoga allah meluaskan rezeki, melancarkan perjalan seharian dan kepada anak2 nya, moga menjadi anak yang soleh serta dapat menbantu ibu bapa suatu hari nanti.

Comments are closed.