Majlis Angkat Sumpah dan Simpan Rahsia itu berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy, dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkuat kuasa hari ini.

Majlis Angkat Sumpah dan Simpan Rahsia itu berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam kenyataannya, beliau menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar dan tanggungjawab moral untuk membantu Menteri melaksanakan dasar-dasar menjurus kepada kesejahteraan rakyat bandar serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Sebagai seorang aktivis dan peguam sebelum ini, saya melihat pelantikan ini sebagai satu amanah besar untuk terus menyumbang kepada usaha memperkukuh dasar Madani demi manfaat rakyat,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy.

Sivamalar mempunyai pengalaman luas dalam sektor kerajaan dan dasar awam bermula di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kemudian di Kementerian Kesihatan sebelum berkhidmat di Jabatan Wilayah Persekutuan.

Beliau turut mengakui perjalanan itu bukan sesuatu yang mudah, namun setiap fasa membuka ruang untuk belajar, berkembang dan memperkukuh kefahaman terhadap struktur pentadbiran awam.

“Setiap fasa memberi peluang untuk belajar dan menyumbang kepada pentadbiran negara. Saya menghargai kepercayaan yang diberikan dan akan melaksanakan tugas ini dengan penuh integriti serta dedikasi,” katanya lagi.

Pelantikan Sivamalar dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha Dr Zaliha untuk menampilkan barisan pegawai muda yang berpengalaman dalam dasar sosial dan pembangunan komuniti bandar, seiring dengan visi menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai model bandar inklusif dan sejahtera di bawah gagasan Malaysia Madani.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Dr. Zaliha atas kepercayaan tersebut dan menyeru rakan seperjuangan agar terus memberikan sokongan bagi memastikan amanah itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Dengan rendah hati, saya memohon doa dan sokongan semua rakan seperjuangan agar perjalanan ini sentiasa dipermudahkan dan dirahmati Tuhan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast