KUALA LUMPUR – Pasport bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sebelum ini ditahan berikutan pertuduhan jenayah yang dihadapinya, dipulangkan secara kekal selepas Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan beliau.
Dengan keputusan tersebut, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu kini boleh keluar negara pada bila-bila masa tanpa halangan selepas syarat jaminan terhadapnya dipinda.
Hakim Azura Alwi turut mengarahkan Penasihat DAP itu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Pulau Pinang pada minggu pertama setiap bulan hingga kes selesai.
Beliau mengekalkan jumlah jaminan RM1 juta yang sebelum ini ditentukan oleh mahkamah.
Ketika membenarkan permohonan pemulangan pasport secara kekal, Azura bersetuju berlaku perubahan keadaan yang mewajarkan ia dibenarkan.
Ujar beliau, mahkamah meneliti asas permohonan itu setelah Guan Eng dilantik sebagai salah seorang Pengerusi Kehormat ASEAN-China Association for the Promotion of Industrial Cooperation and Development (ACAPICD).
“Perjalanan boleh dirancang secara berjadual, jadi tidak timbul isu memalukan, meremehkan mungkin. Pihak-pihak boleh kemukakan syarat jaminan lain,” ujarnya.
Terdahulu, peguam, Haijan Omar berkata, anak guamnya telah dilantik ke jawatan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perkara tersebut disokong melalui surat dari Pejabat Perdana Menteri bertarikh 22 Ogos lalu dan surat daripada Perdana Menteri sendiri bertarikh 20 Ogos lalu.
Guan Eng melalui afidavit yang diikrarkan semalam berkata, sebagai salah seorang Pengerusi Kehormat ACAPICD, beliau dikehendaki ke luar negara untuk menghadiri mesyuarat, konvensyen dan pameran antarabangsa.
Antaranya, World Maritime Equipment Conference yang akan berlangsung di Fuzhou, China bulan ini serta ASEAN-China GBA Economic Cooperation (Qianhai) Forum di Shenzhen bulan depan.
Oleh yang demikian, Guan Eng memohon pasport antarabangsanya dikembalikan secara kekal bagi memenuhi tuntutan kerja selepas memegang jawatan itu.
“Jika permohonan tidak dibenarkan, saya perlu membuat permohonan pengembalian pasport dari semasa ke semasa untuk perjalanan ke luar negara dan perkara ini akan memalukan dan meremehkan saya.
“Saya bukan seseorang yang berisiko melarikan diri kerana saya tidak pernah gagal menghadirkan diri ketika perbicaraan tanpa alasan yang munasabah,” ujarnya.
Haijan selanjutnya berkata, anak guamnya terpaksa memohon pengembalian pasport setiap kali ke luar negara walhal beliau keluar negara atas tugas rasmi, bukan untuk bercuti.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin membantah permohonan itu atas alasan ia sesuatu yang tidak logik memandangkan Guan Eng masih boleh memohon pasportnya dari semasa ke semasa.
Pendakwaan berhujah, kedudukan tertuduh berbeza dengan warganegara yang lain kerana beliau kini menghadapi pertuduhan jenayah atas kesalahan yang serius dan berisiko melarikan diri.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah agar permohonan itu ditolak atas alasan surat yang dikemukakan tidak menyatakan dengan jelas tarikh pemergian ke luar negara.
Selepas Azura menyampaikan keputusannya, mahkamah meneruskan prosiding dengan menyambung keterangan pegawai penyiasat kes, Penguasa Kanan Zulhilmi Ramli.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan kes Guan Eng yang menghadapi pertuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. – MalaysiaGazette
















