ISKANDAR PUTERI- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan cubaan menyeludup dadah selepas menahan dua lelaki warga Indonesia di perairan Forest City, di sini, Isnin lalu.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, operasi pukul 4.30 pagi itu hasil maklumat risikan dan tindakan pantas pasukan maritim menerusi Bot Perkasa 43 selepas mengesan sebuah bot mencurigakan berhampiran kawasan pesisir.
“Pasukan operasi yang dipecahkan kepada tim laut dan tim darat bertindak mengekori bot tersebut sebelum melarikan diri.
“Bagaimanapun dua lelaki warga Indonesia berjaya diberkas di tepi pantai Forest City,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1,993 gram bernilai kira-kira RM66,000, serta 499 unit bungkusan plastik berisi cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom vape’ dianggarkan bernilai RM99,000.
Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM165,000, katanya.
Katanya, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an kini ditahan untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Menurut Kama Azri, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjadikan perairan Johor sebagai laluan penyeludupan.
Maritim ujarnya, akan terus mempergiat rondaan dan operasi bersepadu di kawasan sempadan perairan negara bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.
“Tangkapan terbaharu ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan maritim dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah rentas sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette
















