Isteri kepada penyanyi, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berjalan keluar selepas mendengar pengesahan lafaz cerai oleh suaminya, Ahmad Nubhan Ahamad di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 16 OKTOBER 2025

SEPANG – Isteri kepada penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad, iaitu Dr. Afifah Hidayah Mohd Yusof, mengakui tidak mengetahui tentang kewujudan rumah milik suaminya yang terletak di Southville, Dengkil, Selangor.

Kediaman berkenaan menjadi faktor utama kes pengesahan lafaz cerai pasangan itu difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Perkara tersebut dimaklumkan ketika prosiding pengesahan lafaz cerai yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Tuan Muhamad Nazri Basrawi, pada Khamis.

Menurut keterangan di mahkamah, Nubhan memiliki sebuah rumah di kawasan berkenaan yang terletak dalam mukim Sepang, sekali gus memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah Sepang untuk mendengar kes tersebut.

Bagaimanapun, Dr. Afifah menjelaskan, beliau tidak pernah mengetahui tentang kewujudan rumah itu dan menyangka ia merupakan kediaman milik sepupu suaminya.

Difahamkan sepanjang 10 tahun mendirikan rumah tangga, beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah berkenaan.

“Saya tidak tahu pun rumah itu milik kami. Saya ingatkan rumah sepupu dia,” katanya ringkas ketika ditemui selepas prosiding selesai.

Kes pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Nubhan bagi mengesahkan dua lafaz cerai terhadap isterinya, termasuk lafaz talak kedua yang didakwa berlaku pada 26 Ogos lalu.

Hakim Syarie kemudiannya menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh keputusan selepas mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak serta peguam syarie masing-masing.

Dalam prosiding itu, pihak defendan, Dr. Afifah yang diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader, memohon agar mahkamah mengesahkan terlebih dahulu lafaz cerai pertama yang berlaku lapan tahun lalu serta proses rujuk selepas itu sebelum mendengar lafaz talak kedua.

Sementara itu, Nubhan diwakili oleh peguam syarie Mohd Redzuan Ramli yang memaklumkan isu teknikal dan bantahan berhubung laporan penyelesaian telah diselesaikan oleh mahkamah.

“Isu teknikal dan bantahan berhubung laporan penyelesaian telah pun diselesaikan oleh mahkamah. Kes ini dijangka ditentukan pada 2 Disember nanti,” katanya kepada media selepas prosiding.

Dalam pada itu, Dr. Afifah yang kelihatan tenang ketika ditemui media mengakui setiap rumah tangga tidak terlepas daripada ujian, namun menegaskan beliau masih menyayangi keluarganya.

“Biasalah dalam rumah tangga ada pasang surut, tetapi saya masih sayang keluarga saya,” katanya.

Dr. Afifah turut menafikan dakwaan wujud orang ketiga yang menjadi punca kepada kemelut rumah tangganya.

“Kita tidak pernah sama sekali. Tetapi saya faham, banyak spekulasi timbul. Apa pun, saya harap semua hormati proses ini dan doakan yang terbaik untuk kami,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh suaminya telah diserahkan kepada pihaknya pada 5 Oktober lalu, menjadikan prosiding hari ini sebagai sebutan pertama kes berkenaan.

Terdahulu, Akberdin mendedahkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada tahun 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.

Menurutnya, perceraian yang didakwa berlaku pada 26 Ogos lalu juga tidak melibatkan sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham kecil dalam rumah tangga.

“Tiada pergaduhan besar, hanya salah faham biasa suami isteri. Namun pihak plaintif telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang berlaku di luar mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast