Azizee Ismail

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang akan mempertingkatkan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sekolah serta asrama sebagai langkah menangani kejadian buli dalam kalangan pelajar.

Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, rondaan berkala termasuk pada waktu malam akan dilaksana bagi memastikan kawasan sekolah sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Azizee menjelaskan, ketetapan itu dibuat hasil perbincangan bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dalam satu sesi sebelum ini.

“Kita akan ambil tindakan ke atas semua kes buli yang dilaporkan.

“Penempatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di institusi pendidikan terlibat turut menjadi sebahagian tindakan pencegahan yang dipersetujui.

“Selain itu, antara langkah yang sudah diputuskan ialah menempatkan PPS di sekolah tertentu serta menggerakkan anggota MPV dan URB masuk ke kawasan sekolah dan asrama pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran PDRM Penang International 2nd Bridge Solidarity 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Mengulas program kayuhan itu, beliau memaklumkan acara yang dijadual berlangsung pada 3 Januari depan dijangka menghimpunkan 3,000 peserta.

“Sehingga kini sebanyak 1,000 penyertaan sudah diterima dan permohonan akan ditutup pada November,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast