PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengadakan perjumpaan dengan pengendali platform media sosial dan e-dagang di Singapura minggu depan bagi membincangkan cadangan menaikkan had umur pengguna media sosial di negara kepada 16 tahun.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu telah dipersetujui secara dasar yang dibuat melalui mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

“Jemaah Menteri hari ini telah bersetuju supaya had usia pengguna media social sebelum ini pada usia 13 tahun dinaikkan ke 16 tahun sama seperti yang ada dilakukan di beberapa negara termasuk Australia dan Indonesia.

“Cara had ini akan dikuatkuasakan melalui penmdaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan juga MyDigital ID”, katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan mengetuai pertemuan itu bagi meneliti mekanisme terbaik untuk perlaksanaan dasar tersebut.

Sementara itu, Fahmi berkata, mesyuarat pada hari ini membincangkan untuk mengambil tindakan terhadap pengendali media sosial dan platform e-dagang yang membenarkan penjualan bahan berbahaya seperti senjata.

“Kita lihat ada kewajaran untuk kerjasama yang lebih erat antara beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN, KKM dan juga MCMC untuk mengenalpasti sejumlah produk ataupun perkara yang perlu diambil tindakan.

“Saya juga mengarahkan supaya pihak MCMC meneliti keperluan untuk sekiranya pihak syarikat e-dagang, platform e-dagang (yang) tidak memberikan kerjasama yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast