Aznan ketika menjawab soalan lisan daam sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

KOTA TINGGI -Kerajaan Johor memantau rapi penularan virus influenza dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran sesi peperiksaan itu nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, setakat ini, tiada sebarang kes jangkitan dilaporkan namun langkah berjaga-jaga telah diambil di semua sekolah bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

“Pemantauan sedang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri. Kita mahu pastikan calon SPM berada dalam keadaan sihat dan selamat semasa menduduki peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Mahkamah Baharu Pengerang di Bandar Penawar di sini hari ini.

Menurut Aznan, sekolah-sekolah turut diingatkan untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan sekiranya terdapat pelajar menunjukkan simptom seperti demam, batuk atau selesema bagi membolehkan tindakan awal diambil.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar memastikan anak-anak mendapat rehat mencukupi serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi sepanjang tempoh peperiksaan.

Minggu lalu, seramai tujuh individu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Permas Jaya 2 termasuk murid, guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) diarah kuarantin selama 10 hari selepas didapati dijangkiti Influenza A.

Arahan kuarantin itu berkuat kuasa 8 Oktober hingga hari ini katanya.

Beliau menambah, situasi kini terkawal dan pelajar yang terlibat telah diberikan pemantauan rapi oleh pihak kesihatan.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan sesi peperiksaan SPM tahun ini berjalan dengan selamat dan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast