SEBERANG PERAI – Mayat seorang wanita dan anaknya yang dibunuh dalam kejadian di Kampung Sekolah di Juru di sini, malam tadi dibawa keluar dari rumah mereka sekitar jam 1.50 pagi untuk dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tujuan bedah siasat.
Proses itu selepas pasukan polis, forensik dan pakar patologi selesai menjalankan siasatan termasuk melakukan proses pengumpulan bahan bukti di tempat kejadian.
Difahamkan, pasukan siasatan menemui sebilah pisau dalam semak berhampiran rumah tersebut yang dipercayai membantu siasatan pembunuhan terbabit.
Wartawan MalaysiaGazette yang membuat liputan di lokasi kejadian mendapati kawasan kediaman kedua-dua mangsa itu dikawal rapi oleh anggota polis bagi mengelakkan orang awam merakamkan kejadian tersebut.
Turut kelihatan keluarga mangsa yang dipercayai datang dari Sik, Kedah.
Dalam perkembangan lain, satu rakaman suara berdurasi 18 saat yang dipercayai suara suami mangsa tular di media sosial selepas kejadian.
Menerusi audio berkenaan, lelaki itu dipercayai memaklumkan kepada rakannya mengenai pembunuhan isteri dan anak mereka.
Petikan suara yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp itu berbunyi, “Assalamualaikum Daus, esok abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah. Aku balik-balik tengok pintu terbuka, aku tengok bini aku melimpah darah, anak pun kena bunuh.”
Setakat ini, polis belum mengesahkan punca kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu, Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail mengesahkan seorang wanita berusia 51, dan anaknya berumur 11 tahun mati dibunuh. – MalaysiaGazette
Suami mangsa tanya ada tak nampak kereta mencurigakan masuk rumahnya – Jiran
















